Rabu, 15 Mei 2024 | 11:14am
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan meneliti teks ucapan penggulungan kementeriannya sebelum Persidangan DUN Sarawak. -Foto NSTP/Nadim Bokhari
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan meneliti teks ucapan penggulungan kementeriannya sebelum Persidangan DUN Sarawak. -Foto NSTP/Nadim Bokhari

Sarawak warta hutan lindungi primat diancam kepupusan

KUCHING : Jabatan Hutan Sarawak akan mewartakan kawasan hutan seluas kira-kira 845 hektar di Sungai Selai Inah, Jemoreng, di Matu dalam Bahagian Mukah sebagai kawasan perlindungan spesies primat berikutan penemuan spesies haiwan terancam di kawasan itu, baru-baru ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, apabila diwartakan, kawasan itu dikenali sebagai Sungai Selai Inah Protected Forest yang akan melindungi primat terbabit yang dikenali sebagai monyet merah atau nama saintifiknya Presbytis Chrysomelas cruciger (Tricolour Langur).

Katanya, spesies terancam kritikal itu ditemui ketika ekspedisi saintifik dilaksana di kawasan berkenaan beberapa tahun lalu.

"Penemuan itu sudah diterbitkan di dalam artikel antarabangsa iaitu 'Check List the Journal of Biodiversity Data' pada 27 Mac lalu.

"Spesies monyet unik itu sebelum ini hanya pernah dijumpai di Taman Negara Maludam dalam Bahagian Betong," katanya ketika penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, monyet itu dikategorikan sebagai spesis terancam secara kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta spesis yang terlindung dalam Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998.

April lalu, BH melaporkan penemuan spesies primat itu oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang menurut Penyelidik kanan jabatan itu, Dr Ahmad Ampeng, berdasarkan rekod, primat itu pertama kali dijumpai di Sarawak oleh penyelidik barat yang dikenali sebagai Thomas hampir 200 tahun lalu iaitu pada tahun 1832 di kawasan hutan di Maludam dalam Bahagian Betong.

Malah, katanya, ada maklumat yang diterima mengatakan spesies itu masih ada di Maludam, namun tiada bukti untuk mengesahkannya dan usaha yang dijalankan juga gagal mengesan primat berkenaan.

Namun, usaha beliau berhasil apabila primat yang dikategorikan sangat diancam kepupusan itu berjaya dikesan di hutan di Jemoreng yang terletak lebih 200 kilometer dari Maludam.

Berdasarkan rekod yang diteliti, primat yang sama ditemui di Maludam pada 1832 yang mana mukanya berwarna hitam, namun yang di Jemoreng pula mukanya putih pucat.

Bagaimanapun, katanya, hasil kajian primat dengan warna muka putih pucat itu setakat ini hanya ditemui di satu-satunya tempat di dunia iaitu di Jemoreng.

Berita Harian X