Selasa, 14 Mei 2024 | 8:25pm
 Rakyat Palestin cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan susulan pengeboman tentera Israel di Gaza.
Rakyat Palestin cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan susulan pengeboman tentera Israel di Gaza.

Gaza terus dibedil, angka kematian meningkat, ramai hilang bawah runtuhan

KUALA LUMPUR: Siri pengeboman berterusan rejim Zionis di Gaza menyaksikan lebih 30 lagi rakyat Palestin di kem Nuseirat, di tengah wilayah terkepung itu terbunuh malam tadi.

Pengeboman pesawat Israel ke atas beberapa rumah dan sebuah bangunan sekolah yang menempatkan pelarian di kem itu turut menyebabkan ramai penduduk cedera dengan ada yang hilang di bawah runtuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Seyam, berkata serangan turut berlaku di utara Gaza yang menyaksikan seorang kanak-kanak terbunuh akibat serangan Israel menyasarkan dua rumah di Jabalia.

Tentera darat dan udara Israel menyasarkan bandar Rafah di selatan Gaza; kawasan kejiranan Al-Zaytoun di tenggara Gaza City dan Jabalia,.

"Ketika pembunuhan beramai-ramai Israel memasuki hari ke-221, Gaza terus bergolak dengan serangan udara dan pengeboman artileri tanpa henti.

"Orang awam menghadapi penderitaan yang tidak dapat dibayangkan kerana infrastruktur penting, termasuk hospital dan sekolah musnah," katanya kepada BH hari ini.

Omar yang juga jurucakap UNICEF Tess Ingram menyifatkan keadaan itu sebagai satu malapetaka yang belum pernah dilihatnya.

Beliau berkata rakyat Palestin berpindah ke Khan Younis dan kawasan tengah.

"Lebih 350,000 rakyat terpaksa meninggalkan Rafah setakat ini sejak Israel melancarkan serangan ke kawasan itu minggu lalu," katanya.

Kementerian Kesihatan Palestin menyatakan sekurang-kurangnya 35,000 terbunuh di wilayah itu sepanjang lebih enam bulan perang antara Israel dan Palestin.

Jumlah berkenaan termasuk sekurang-kurangnya 65 kematian dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut kementerian terbabit.

Sementara itu, Israel bertegas meneruskan operasi ketenteraan secara besar-besaran di Rafah, wilayah paling selatan di Gaza, selepas penduduk Palestin di kawasan itu dikosongkan.

Mereka mendakwa serangan terbaru Israel di Gaza kononnya untuk menghapuskan lokasi persembunyian Hamas.

Pada masa sama 75,993 dilaporkan cedera di Gaza sejak perang bermula.

Berita Harian X