Selasa, 14 Mei 2024 | 4:34pm
(Gambar fail) Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
(Gambar fail) Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Akaun keldai: 'Ada yang sengaja, ada yang terperdaya'

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menafikan kewujudan akaun keldai menyukarkan mana-mana pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengenai suatu kes jenayah wang haram dan pembiayaan keganasan di negara ini.

Perkara ini dirumitkan lagi dengan isu teknikal membabitkan suatu akaun yang digunakan oleh mana-mana keldai akaun dengan institusi kewangan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan analisis JSJK, akaun keldai didapati bermula dari beberapa aspek disengajakan atau sebagai akibat daripada satu perbuatan lain.

"Seperti kita tahu, terdapat segelintir masyarakat yang bertindak 'menyewakan' akaun mereka dan mendapat 'imbuhan' tanpa mengambil kira tujuan 'penyewa' akaun itu sama ada untuk tujuan baik ataupun tidak.

"Satu lagi situasi akaun keldai ini ialah ia berlaku apabila seseorang terperdaya untuk membuat pinjaman yang mudah diluluskan tanpa cagaran, seperti daripada 'along'.

"Individu terbabit kemudian menyerahkan kad perbankan (ATM), kata laluan dan sebagainya kepada si pemberi pinjam wang

"Akhirnya, pemilik akaun sebenar terbabit tidak menyedari bahawa akaunnya itu digunakan sebagai keldai untuk pemindahan wang hasil penipuan," katanya kepada BH, hari ini.

Justeru, Ramli menjelaskan, siasatan berhubung keldai akaun memang rumit kerana memerlukan penelitian mana-mana pegawai yang menjalankan siasatan dalam menjejaki pesalah sebenar, selain mengambil masa yang panjang. Ini kerana siasatan keldai akaun turut membabitkan JSJK dalam sesuatu kes.

"Namun dalam bidang kuasa polis, siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan bukan bawah bidang kuasa JSJK, sebaliknya ia bawah Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia," katanya.

Semalam, BH melaporkan siasatan aktiviti jenayah wang haram dan pembiayaan keganasan di negara ini berdepan pelbagai halangan, termasuk isu teknikal yang merumitkan, kewujudan banyak keldai akaun serta kepincangan integriti pegawai dalam institusi kewangan.

Antara isu teknikal dihadapi Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menjalankan siasatan ialah pembekalan dokumen melebihi tempoh penyimpanan dan pemfailan Transaksi Yang Mencurigakan (STR) yang diberikan institusi kewangan atau institusi pelapor.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dipetik mengaku penilaian wajar terhadap pelanggan (customer due diligence - CDD) yang kurang ketat telah mengakibatkan kewujudan banyak akaun keldai dan pinjaman kepada pelanggan tidak layak, sekali gus ia dikesan merancakkan lagi aktiviti jenayah itu di negara ini.

Berita Harian X