Selasa, 14 Mei 2024 | 3:25pm

Tumpu pengajian di IPT tempatan: Malaysia ada kepakaran, lahir graduan berkualiti - MPPK

KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki kapasiti dan kepakaran yang diperlukan untuk melahirkan graduan yang berkualiti menerusi institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.

Justeru, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berpandangan, tidak ada masalah untuk kerajaan tidak menghantar pelajar ke luar negara untuk kursus ijazah pertama buat masa ini, yang bukan saja boleh mengurangkan tekanan terhadap ringgit, malah memperhebat lagi IPT tempatan.

Menyifatkan langkah itu sebagai usaha yang baik, Presiden MPPK, Amsyar Hadie, berkata kerajaan mengeluarkan pelaburan yang besar bagi penghantaran pelajar ke luar negara, dianggarkan antara RM80,000 dan RM100,000 setahun, termasuk elaun sara diri bagi setiap pelajar, yang kebanyakannya dalam kalangan pelajar cemerlang.

Ia tidak dinafikan berjaya menghasilkan ramai bakat profesional dalam pelbagai bidang yang menyumbang kembali kepada negara.

"Bagaimanapun hari ini, sudah banyak universiti dalam negara, sama ada IPT awam atau swasta yang setanding dan lebih baik, berbanding universiti luar negara.

"Dalam aspek kursus yang ditawarkan, universiti di negara kita juga mempunyai pelbagai kursus yang ditawarkan, setanding dengan apa yang ada di universiti luar.

"Dari segi ranking universiti juga, kita turut terkedepan, contohnya Universiti Malaya (UM) dan ramai graduan tempatan juga berjaya mendapat tempat serta menjadi pakar dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob mengesyorkan beberapa langkah bagi mengurangkan tekanan terhadap ringgit, antaranya tidak menghantar pelajar ke luar negara untuk kursus ijazah pertama, meningkatkan produktiviti pengeluaran, penggunaan barangan buatan tempatan dan melancong dalam negara.

Sulaiman yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkata peluang pendidikan tinggi di Malaysia kini semakin besar dengan pelbagai kursus berkualiti seperti perubatan, undang-undang dan perakaunan ditawarkan di universiti awam dan swasta.

Mengulas lanjut, Amsyar bagaimanapun berkata, langkah itu tidak bermaksud yang tidak wujud langsung keperluan untuk menghantar anak tempatan menyambung pengajian di luar negara.

Katanya, kerajaan harus merangka satu dasar atau pelan bagi menaja pelajar menyambung pengajian ke luar negara secara berfokus dalam bidang tertentu atau secara strategik, yang menjurus kepada bidang yang tiada kepakaran di Malaysia dan penerokaan bidang baharu.

"Ini akan mendatangkan hasil yang lebih baik dan pada masa sama, menjimatkan kos tajaan pendidikan luar negara.

"Secara tidak langsung, ia juga menggalakkan pelajar menyambung pengajian dalam negara dan menarik lebih ramai pelajar luar menyambung pengajian di Malaysia, sekali gus meningkatkan aliran wang perbelanjaan domestik dan nilai ringgit," katanya.

Berita Harian X