Selasa, 14 Mei 2024 | 3:16pm
Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-Sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng Huat (dua kiri) pada sidang media hari ini. - Foto NSTP/Norzamira Che Noh
Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-Sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng Huat (dua kiri) pada sidang media hari ini. - Foto NSTP/Norzamira Che Noh

Syor wujud sistem kawalan kuota import, harga siling sayuran

KLANG: Kerajaan disaran mewujudkan sistem atau mekanisme kawalan kuota import sayur-sayuran dan menetapkan harga siling bahan makanan itu.

Ia bagi mengelak berlaku pengimportan melebihi permintaan pasaran selain mengekang kuasa monopoli harga oleh warga asing.

Pengerusi Persatuan Pengimport Sayur-Sayuran Malaysia, Datuk Seri Teh Meng Huat, berkata lebih 60 peratus import sayuran kini dikuasai syarikat diusahakan warga asing atau pengusaha luar negara.

Beliau berkata, keadaan juga membimbangkan berikutan harga kos tanaman seperti tomato, kubis bulat dan timun kini amat rendah hingga menyebabkan kerugian berterusan sekali gus menjejaskan petani tempatan.

"Justeru, kami dari tiga persatuan iaitu Persekutuan Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia, Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran Malaysia dan Persatuan Pengimport Sayur-Sayuran memohon campur tangan kerajaan berhubung isu ini.

"Sistem kawalan kuota import perlu diwujudkan bagi mengurangkan pembuangan sayuran dan kerugian akibat persaingan import yang masuk tanpa mengira keperluan pasaran.

"Jika kelulusan kawalan itu diberi lebih 10 tahun, ia membantu pengimport mencari bekalan tetap dari luar negara dan rakyat juga memahami harga siling jenis sayuran," katanya pada sidang media di Pelabuhan Klang di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu meneliti semula pendaftaran syarikat warga asing bagi industri agromakanan di negara ini.

"Keselamatan makanan amat penting dan syarikat yang dikuasai warga asing perlu dihentikan daripada menjalankan perniagaan import, pengedar dan peruncit sayuran.

"Pelaburan asing memang dialu-alukan namun kita tidak boleh membenarkan mereka mengawal import makanan negara," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-sayuran Malaysia, Steven Lee Kha Shiuann, berkata kerajaan turut digesa mengambil tindakan tegas kepada warga asing yang terlibat dalam perniagaan penanaman sayuran dan menyalahgunakan permit kerja.

"Mereka pada dasarnya memang diperlukan pekebun tempatan bagi membantu meningkatkan bekalan sayuran.

"Namun, mereka kini didapati berniaga sendiri dan menjadi tauke besar sekali gus memusnahkan industri agromakanan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut memohon kerajaan mewartakan tanah pertanian dan menyalurkan bantuan pinjaman, subsidi atau rebat cukai kepada pekebun bagi meningkatkan hasil tanaman.

"Ia berikutan penanaman sayur oleh pekebun kecil semakin merosot akibat keluasan tanah kebun yang terhad. Pewartaan tanah pertanian perlu diberikan kepada pekebun yang layak bagi meningkatkan pengeluaran sayur dan menstabilkan harga," katanya.

Berita Harian X