Selasa, 14 Mei 2024 | 2:56pm

UUM universiti awam 'muda' terbaik Malaysia

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) diiktiraf sebagai universiti ke-71 terbaik dunia bagi kategori di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024.

Ranking terbaru itu menyaksikan kedudukan UUM naik 24 anak tangga berbanding ke-95 tahun lalu.

Pengiktirafan itu sekali gus meletakkan UUM sebagai universiti awam di bawah usia 50 tahun terbaik di Malaysia.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan, berkata kejayaan itu adalah hasil kerja keras warga universiti yang sentiasa berusaha meletakkan universiti itu di peringkat lebih tinggi.

Katanya, bukan sesuatu yang mudah apabila UUM perlu bersaing bersama universiti terkemuka lain untuk berada di kedudukan tertinggi.

"Sempena UUM yang kini berusia 40 tahun, keputusan ini menunjukkan kita terus unggul di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang pengurusan, perniagaan dan perakaunan serta sains sosial.

"Kedudukan UUM melonjak 24 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-71 terbaik dunia didorong indikator kualiti penyelidikan, selain mengekalkan markah tinggi untuk kategori pengajaran dan persekitaran penyelidikan.

"Ini secara tidak langsung meletakkan imej dan nama UUM sebaris universiti ternama dunia yang mencipta rekod tersendiri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

THE Young University Rankings 2024 menggunakan 17 indikator dalam lima kategori iaitu pengajaran (29.5 peratus), kualiti penyelidikan (30 peratus), persekitaran penyelidikan (29 peratus), pandangan antarabangsa (7.5 peratus) dan pendapatan industri (4 peratus).

THE Young University Rankings 2024 yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan lebih 673 universiti seluruh dunia yang disenaraikan bagi penarafan 2024.

Keputusan penuh ranking boleh dilayari di https://www.timeshighereducation.com/world-university-rankings/2024/youn....

Berita Harian X