Selasa, 14 Mei 2024 | 8:40am
Anwar bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh. - Foto FB Anwar Ibrahim
Anwar bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh. - Foto FB Anwar Ibrahim

Anwar bertemu pemimpin Hamas di Qatar, ulangi komitmen Malaysia hentikan serangan terhadap Rafah

DOHA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan lawatan rasmi beliau ke Qatar untuk bertemu Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Pertemuan tertutup empat mata antara dua pemimpin itu berlangsung di sebuah hotel di sini, pagi semalam dengan antara inti pati pertemuan sudah tentu untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.

Haniyeh dilihat tiba di lobi hotel terbabit jam 8.55 pagi dengan dikawal ketat sekumpulan pengawal sebelum diiring naik ke lokasi pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu.

Turut dilihat mengiringi Haniyeh adalah pemimpin politik Palestin yang juga bekas Ketua Hamas, Khaled Masyal.

Perdana Menteri bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh. - Foto FB Anwar Ibrahim
Perdana Menteri bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh. - Foto FB Anwar Ibrahim

Ini pertemuan bersemuka pertama Anwar bersama Haniyeh sebagai Perdana Menteri Malaysia. Kali terakhir mereka berjumpa pada 2019 dan 2020, namun ketika itu atas kapasiti sebagai Ketua Pembangkang.

Bagaimanapun kedua-dua pemimpin itu sering berhubung melalui panggilan telefon, malah Haniyeh turut menghubungi dan mengucapkan tahniah ketika Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 2022.

Anwar turut menghubungi Haniyeh pada 11 April lalu bagi menzahirkan rasa simpati dengan serangan berlaku di Palestin yang turut mengorbankan tiga anak lelaki pemimpin Hamas itu.

Anwar melalui satu muat naik di Facebook berkaiktan pertemuan itu memaklumkan Malaysia akan terus komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan terus menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

"Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), dan masyarakat antarabangsa," katanya.

Anwar berkata, Malaysia turut mendesak Israel menghentikan kezaliman ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.

Beliau turut mengulangi ucapan takziah secara terus kepada atas pemergian ahli keluarga Haniyeh yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Qatar untuk meningkatkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Doha yang termeterai sejak 1974, selain usaha menarik pelaburan baharu dari negara Asia Barat.

Namun dengan peranan dimainkan Qatar sebagai mediator rundingan dalam isu Palestin khususnya konflik antara Hamas dan Israel, ramai melihat isu berkenaan akan turut berada dalam radar Anwar dalam lawatannya ke sini.

Anwar semalam turut mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya yang juga Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Bin Jassim Al-Thani dengan antara fokus perbincangan sudah tentu berkaitan konflik Asia Barat khususnya berkaitan Palestin.

Malaysia antara negara yang lantang mengkritik kekejaman Israel di Palestin yang sehingga kini meragut lebih 35,000 nyawa.

Terkini kelmarin, Malaysia dan Qatar sepakat menekankan keperluan gencatan senjata segera yang kekal antara Hamas dan Israel, selain kepentingan rundingan yang sedang berlangsung dalam usaha menamatkan kekejaman yang berlaku di Palestin.

Kesepakatan itu dicapai susulan pertemuan dua hala antara Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya yang juga Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Bin Jassim Al-Thani di sini.

Ia selari dengan enam inti pati ditekankan Malaysia melalui Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi, bulan lalu membabitkan isu Israel-Palestin yang perlu terus diperjuangkan, antaranya gesaan gencatan senjata kekal untuk segera dilaksanakan.

Gesaan lain termasuk bantuan kemanusiaan terhadap mereka yang memerlukan di Palestin terus disediakan selain menubuhkan mekanisme untuk memastikan perlindungan bagi rakyat Palestin. kekebalan' Israel ditamatkan, selain ia perlu bertanggungjawab atas jenayah peperangannya terhadap kemanusiaan.

Malaysia juga menggesa semua negara tidak memberi bantuan kepada Israel yang menafikan hak rakyat Palestin dan pendudukan di wilayah Palestin, selain memulakan semula proses keamanan yang membawa kepada penubuhan dan pengiktirafan negara Palestin yang merdeka serta kemasukan Palestin sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berita Harian X