Isnin, 13 Mei 2024 | 6:41pm
Pengerusi (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto BERNAMA
Pengerusi (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto BERNAMA

MARA peruntuk RM15 juta untuk program PUMP dalam tempoh dua tahun

KUALA NERUS: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM15 juta bagi program Pembangunan Usahawan Automotif MARA-Petronas (PUMP) bermula 2022 hingga tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata peruntukan itu sudah memanfaatkan 35 usahawan yang membabitkan 46 cawangan pusat servis kenderaan di bawah jenama PUMP di seluruh negara.

"Keberhasilan ini sangat memberangsangkan dan memberi impak tinggi apabila nilai jualan usahawan di bawah PUMP mencecah RM50 juta dengan penawaran 320 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," katanya pada Majlis Perasmian PUMP Kuala Nerus di Outlet PUMP RS Auto Technology Sdn Bhd di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) Sdn Bhd Mohd Zameer Zahur Hussain.

Asyraf Wajdi, berkata PUMP adalah program khas berstruktur merangkumi latihan keusahawanan, pembiayaan perniagaan, khidmat nasihat dan pemantauan berkala daripada MARA dan Petronas.

Dalam pada itu, menurutnya MARA juga menyasarkan untuk menubuhkan 25 lagi cawangan pusat servis kenderaan di bawah jenama PUMP itu di seluruh negara pada tahun ini.

Bagi Terengganu pula, katanya, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi membantu tujuh usahawan automotif yang membuka pusat servis kenderaan.

Beliau berkata, RS Auto Technology Sdn Bhd adalah antara usahawan pantai timur yang menerima kemudahan pembiayaan daripada MARA Terengganu sebanyak RM500,000 bagi kerja-kerja ubah suai bengkel yang lebih kompetitif dan berdaya saing serta lebih sistematik.

Dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi berkata, MARA menerima peruntukan sebanyak RM390 juta bagi melaksanakan pelbagai program pada tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM185 juta dibelanjakan bagi pembiayaan perniagaan dan RM25 juta diperuntukkan untuk program latihan keusahawanan dan program khas yang memberi manfaat kepada 6,650 usahawan seluruh negara. - BERNAMA

TAG: Asyraf Wajdi, MARA, PUMP, Petronas, automobil, pusat servis, Terengganu

Berita Harian X