Isnin, 13 Mei 2024 | 6:34pm
Asyraf (tiga kiri) menandatangani plak Perasmian Outlet Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA PETRONAS (PUMP) RS Auto Technology Sdn Bhd di Kampung Pulau Duyung Kecil, hari ini. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Asyraf (tiga kiri) menandatangani plak Perasmian Outlet Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA PETRONAS (PUMP) RS Auto Technology Sdn Bhd di Kampung Pulau Duyung Kecil, hari ini. - Foto NSTP/GHAZALI KORI

'PN umpama rumah siap, pahat masih berbunyi' - Asyraf Wajdi

KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) diminta supaya berlapang dada menerima keputusan berikutan kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Sabtu lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, berkata UMNO dan semua parti gabungan Pakatan Harapan (PH) berlapang dada menerima keputusan apabila kalah teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Beliau berkata, PN diibaratkan sebagai rumah siap, pahat masih berbunyi apabila mengumumkan untuk mengemukakan petisyen pilihan raya jika PH memenangi kerusi DUN Kuala Kubu Baharu pada PRK Sabtu lalu.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, menjadi hak semua parti terutama PN untuk mengemukakan petisyen," katanya kepada media selepas merasmikan Outlet Pump RS Auto Teknologi Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing Sdn Bhd, Mohd Zameer Hussain dan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat.

Pada PRK Kuala Kubu Bharu Sabtu lalu, calon PH, Pang Sock Tao memenangi dengan majoriti 3,869 undi selepas memperoleh 14,000 undi menewaskan tiga pencabarnya, termasuk calon PN, Khairul Azhari Saut, yang mendapat 10,131 undi.

Pada 7 Mei lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya jika PH memenangi kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.

Katanya, tindakan parti itu untuk mengemukakan petisyen susulan kerajaan melakukan salah guna kuasa dan jentera sebelum dan semasa kempen PRK berlangsung.

Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, pengundi di DUN Kuala Kubu Bharu sudah membuat pilihan dan memberi mandat kepada Sock Tao memenangi kerusi itu.

Berita Harian X