Isnin, 13 Mei 2024 | 5:09pm
Asyraf Wajdi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Buku Hadis 40 Imam al-Nawawi di UniSZA, hari ini. - FOTO BERNAMA
Asyraf Wajdi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Buku Hadis 40 Imam al-Nawawi di UniSZA, hari ini. - FOTO BERNAMA

Penghayatan Hadis 40 Imam al-Nawawi diperluas ke TABIKA KEMAS

KUALA NERUS: Kurikulum Pendidikan Islam di TABIKA bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) seluruh negara akan dimantapkan lagi dengan modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi yang dijangka bermula Jun depan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebagai permulaan, pelaksanaan itu bakal membabitkan 4,145 daripada 10,840 TABIKA KEMAS di seluruh negara sebelum diperluaskan ke semua TABIKA secara berperingkat pada tahun depan.

"Bilangan 4,145 TABIKA itu membabitkan kira-kira 80,000 murid. Inisiatif untuk membudaya dan merakyatkan Hadis 40 Imam al-Nawawi ini adalah hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), justeru Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bawah Menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) berhasrat memulakannya pada peringkat prasekolah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ahmad Zahid pada Majlis Pelancaran Buku Hadis 40 Imam al-Nawawi di Dewan al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi juga seiring inisiatif Program Tabika Pra-Tahfiz yang telah dilaksanakan KKDW mulai tahun ini.

"Pada Jun depan, guru-guru KEMAS yang terbabit Program Tabika Pra-Tahfiz akan menjalani kursus dan latihan, jadi modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi ini boleh disekalikan dalam program latihan itu," katanya.

Asyraf Wajdi berkata, buku diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama KEMAS dan UniSZA itu berupaya membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak dalam diri individu seawal usia kanak-kanak.

"Kalau kita tengok, buku Hadis 40 Imam al-Nawawi ini sangat senang difahami kerana ia ringkas dan mudah.

"Ia bukan soal hafal tetapi untuk dihayati sebagai amalan dalam kehidupan. Saya yakin modul ini boleh dibuat dalam pelbagai bentuk seperti permainan dan nyanyian untuk menarik minat murid prasekolah," katanya.

Asyraf Wajdi turut berhasrat melaksanakan modul pembelajaran Hadis 40 Imam al-Nawawi di lebih 300 institusi pendidikan MARA, termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), GIATMARA dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA.

"Esok, ada mesyuarat Majlis MARA, dan saya akan mencadangkan Majlis MARA untuk terus melaksanakan perkara ini," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X