Isnin, 13 Mei 2024 | 8:09am

Jemaah haji kena cakna pilih pakej, elak jadi mangsa penipuan agensi

SABAN tahun apabila bermula musim mengerjakan haji, sering berlaku kes ada jemaah menjadi mangsa kepada kelemahan tatakelola daripada ejen atau agensi pengendali umrah untuk menunaikan ibadah berkenaan.

Baru-baru ini, kira-kira 300 bakal jemaah haji Malaysia yang sudah berada di Makkah, kebingungan apabila agensi umrah menguruskan perjalanan mereka, gagal menunaikan janji mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Bakal haji terbabit menyedari diperdaya selepas mendapati pakej haji murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadat itu.

Namun ada laporan menyatakan, agensi terbabit sedang berurusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi untuk menguruskan visa haji bagi jemaah terbabit.

Walaupun menjadi tanggungjawab bagi kerajaan untuk menguruskan permasalahan ini, pihak jemaah juga sepatutnya perlu lebih cakna sebelum membuat keputusan mengerjakan haji mengikut pakej ditawarkan agensi umrah.

Sudah banyak kes seumpama ini berlaku dan dilaporkan, maka sebagai rakyat yang bijak serta pasti terdedah kepada pelbagai sumber maklumat sepatutnya berupaya mengelak daripada menjadi mangsa penipuan atau tatakelola tidak baik agensi umrah ini.

Wanita menipu dengan menawarkan pakej haji RM25,000 dengan pengangkutan persendirian, dan hotel lima bintang berhampiran Masjidilharam. - Foto hiasan REUTERS
Wanita menipu dengan menawarkan pakej haji RM25,000 dengan pengangkutan persendirian, dan hotel lima bintang berhampiran Masjidilharam. - Foto hiasan REUTERS

Jangan kerana hendak mengejar pahala ibadah agung, umat Islam terus terpesona dengan pakej ditawarkan sehingga alpa aspek integriti pengurusan haji agensi lalu akhirnya terperangkap dalam jerat penipuan.

Kisah penipuan urusan haji yang pernah dilaporkan sebelum ini seharusnya menjadi pengajaran dan iktibar kepada umat Islam supaya lebih waspada serta berhati-hati sebelum membuat keputusan.

Jemaah tidak seharusnya mengambil mudah dalam membuat keputusan memilih agensi umrah untuk menunaikan ibadah haji atau beranggapan jika berlaku sebarang masalah berbangkit dalam urusan haji, maka kerajaan dan Tabung Haji (TH) akan tampil membantu.

Sikap seperti ini perlu dijauhi umat Islam kerana ia akan menyebabkan Islam dan penganutnya dipandang sinis, seolah-olah tidak mampu berfikir dengan rasional dalam urusan melaksanakan ibadah haji sehingga akhirnya menjadi mangsa penipuan.

Hakikatnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sudah mewujudkan garis panduan untuk menjadi rujukan kepada jemaah supaya tidak menjadi mangsa kerakusan agensi umrah selain menyenarai hitam syarikat pengendali yang terbabit dengan penipuan.

Ketika kita semakin gah melangkah ke era digitalisasi, hidup dalam ruang komunikasi tanpa sempadan, umat Islam perlu memanfaatkan segala sumber maklumat dan komunikasi untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan termasuk dalam urusan ibadah haji atau umrah.

Pihak MOTAC juga perlu lebih agresif mengambil tindakan terhadap agensi mempunyai rekod 'hitam' supaya tidak menyebabkan lebih ramai menjadi mangsa dan pada masa sama memberi kesedaran kepada bakal jemaah supaya lebih teliti sebelum memilih mana-mana pakej haji ditawarkan agensi umrah.

Berita Harian X