Ahad, 12 Mei 2024 | 9:40pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi beramah mesra dengan peserta Program TUBE-X Zon Sabah Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) , Penampang. Foto NSTP/ Ihsan KUSKOP
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi beramah mesra dengan peserta Program TUBE-X Zon Sabah Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) , Penampang. Foto NSTP/ Ihsan KUSKOP

Program alumni TUBE-X capai nilai jualan RM20 juta

PENAMPANG: Sebanyak RM20.65 juta nilai jualan perniagaan berjaya dicapai dan 2,039 peluang pekerjaan diwujudkan melalui acara alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang kini dijenamakan semula sebagai TUBE-X, di Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata program TUBE-X amat popular dalam kalangan belia bumiputera khususnya di Sabah sebagai inisiatif permulaan menjadi usahawan dan mendaftarkan perniagaan.

"Hingga Disember 2023, seramai 7,738 peserta terbabit dalam program TUBE-X dan peserta Sabah yang paling ramai menyertainya 1,444 orang," katanya berucap merasmikan penutupan program TUBE-X di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) Penampang, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata program TUBE-X yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya SME Corp Malaysia, bagi menggalakkan mereka yang berumur antara 18 hingga 30 tahun menceburi bidang perniagaan.

Katanya, tahun ini pula, sebanyak 214 usahawan belia bumiputera di Sabah menyertai program itu membabitkan peruntukkan geran sebanyak RM3 juta.

"Program dijalankan selama tujuh hari itu khusus untuk memberi latihan modul keusahawanan kepada peserta dengan menekankan pengurusan dan amalan etika perniagaan yang baik," katanya.

Latihan asas keusahawanan yang dijenamakan semula sebagai TUBE-X sempena ulang tahun ke-10 penganjurannya itu, turut menyediakan geran permulaan perniagaan hingga RM15,000 kepada setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata agensi itu komited dalam memantau perkembangan setiap peserta TUBE-X yang tamat latihan dan memulakan perniagaan, yang menjadi antara komponen utama dalam membimbing usahawan ke tahap lebih baik.

Katanya, selain Sabah, program TUBE-X juga dilaksanakan di empat zon iaitu utara, pantai timur, tengah dan selatan.

"Secara keseluruhan, jumlah peserta belia bumiputera yang berjaya dilatih di seluruh negara pada tahun ini ialah 800 orang," katanya.

Berita Harian X