Ahad, 12 Mei 2024 | 7:33pm

Malaysia ambil maklum maklumat AS, siasat guna perisikan sendiri

LENGGONG: Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pertemuannya dengan Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson dan delegasinya pada 9 Mei lalu adalah pertemuan yang berterus terang dan berasaskan kepada fakta.

Beliau berkata, sudah tentu pihaknya di Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendengar pembentangan dan penjelasan yang dikemukakan Nelson iaitu mengenai dakwaan wujud aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas melalui sistem kewangan Malaysia itu dengan menganggapnya sebagai maklumat sebelah pihak.

Katanya, susulan itu respon balas yang dikemukakan terhadap Nelson adalah kerajaan ambil maklum mengenai perkara itu untuk hasilnya diteliti menggunakan kekuatan perisikan Malaysia sendiri.

"Kita dengar itu sebagai satu maklumat di satu pihak, sebab dia sebut itu berlaku dalam negara kita. Kita pun ada kekuatan inteligen, perisikan kita seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN); Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri; kita juga ada inteligen polis dan inteligen tentera.

"Jadi sudah tentu respon saya (kepada Nelson) adalah saya ambil maklum tentang pendedahan maklumat dia, baik atas nama individu, syarikat, atau pertubuhan; dan adalah munasabah untuk kita teliti dahulu perkara itu dan kita akan tengok hasilnya. Itu yang saya terangkan.

"Yang paling penting adalah proses pertemuan itu adalah berterus terang berasaskan kepada fakta. Kita menghargai bahawa negara kita dan AS mempunyai sejarah kerjasama yang cukup panjang dari segi diplomatik, perdagangan dan ekonomi bahkan dalam berapa perkara berkaitan kerjasama keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Beng, di sini sebagai Kampung Angkat Madani KDN, hari ini.

Saifuddin ditanya sama ada penjelasan yang dikemukakan kepada wakil kerajaan AS itu seperti yang dilaporkan media baru-baru ini diterima baik atau sebaliknya.

Mengenai sekatan unilateral atau sebelah pihak berikutan tindakan AS menghalang Iran daripada menjual minyak atau menggunakan sistem kewangan Malaysia, Saifuddin berkata pendirian kerajaan yang dinyatakan kepada wakil AS itu adalah Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, berdaulat, dan mempunyai kedaulatan undang-undang tersendiri.

"Dia (Nelson) bangkitkan soal cadangan mengenakan sekatan. Sudah tentu saya nyatakan pendirian kerajaan bahawa dasar kita sebagai sebuah negara merdeka, berdaulat dan ada kedaulatan undang-undang kita sendiri, maka hanya perintah sekatan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan diiktiraf di negara kita.

"Kalau ada mana-mana individu yang berura-ura untuk mengenakan perintah sekatan berpandukan kepada maklumat satu pihak, sudah tentu saya nyatakan dengan baik bahawa dasar kerajaan tidak menerima pakai perintah sekatan seperti itu.

"Jadi dalam pembentangan itu, dia (Nelson) menyebut beberapa perkara. Dia boleh sahaja menyebut, mengemukakan apa-apa dan menjadi tanggungjawab kita pula untuk memberikan pandangan dan pendirian berhubungan itu," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan AS percaya perairan Malaysia dan sekitar rantau Asia Tenggara digunakan sebagai lokasi untuk minyak Iran dijual kepada pembelinya menerusi urusan pemindahan minyak dari kapal ke kapal bagi mengelak sekatan dilakukan AS ke atas negara teluk itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani KDN di kampung berkenaan, di sini hari ini - Foto NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Beng sebagai Kampung Angkat Madani KDN di kampung berkenaan, di sini hari ini - Foto NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Berita Harian X