Ahad, 12 Mei 2024 | 6:12pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, beramah mesra bersama warga KPDN di Alor Setar, hari ini. - NSTP/WAN NABIL NASIR
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, beramah mesra bersama warga KPDN di Alor Setar, hari ini. - NSTP/WAN NABIL NASIR

Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 diperluas

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meluaskan projek rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 Fasa Dua kepada 14 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan bermula esok.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penambahan itu akan meningkatkan jumlah keseluruhan kenderaan barangan yang layak mendapat diesel bersubsidi di bawah SKDS 2.0 kepada 23 jenis kenderaan barangan.

Katanya, antara faktor diambil kira adalah kuantiti pengguna diesel pengangkutan ini.

"Pengangkutan ini terkait dengan perkhidmatan sedia ada dari segi pengangkutan awam dan barangan keperluan rakyat khususnya produk akhir.

"Ia akan membantu mengurangkan kesan kepada rakyat dan kita perlu merangkumkan jenis-jenis kenderaan ini dalam SDS," katanya selepas menyampaikan amanat Perhimpunan Bulanan KPDN Zon Utara di Anak Bukit, hari ini.

Armizan berkata, kenderaan itu membabitkan lori rigid, lori katering makanan, lori rigid (pertanian), lori tangki rigid (minuman), lori rigid (kandang haiwan), semi (panel van) dan lori rigid (kombinasi).

Kenderaan lain termasuk bas perkhidmatan bergerak, lori rigid (open platform), van perkhidmatan bergerak, bas katering makanan, lori rigid (perkhidmatan bergerak), van katering makanan dan lori rigid (sampah).

"Selain itu, proses kelulusan permohonan juga dipermudah dan dilakukan dalam tempoh satu hari bagi kemudahan syarikat terbabit.

"Kebimbangan kita adalah apabila kelulusan diberi kepada syarikat, mereka ini tidak memohon kad fleet daripada syarikat minyak.

"Syarikat minyak ini memerlukan masa antara tiga ke empat minggu untuk mengeluarkan kad fleet berkenaan," katanya.

SKDS 1.0 dilaksanakan sejak 2013 membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam.

Ia disusuli SKDS 2.0 fasa satu, membabitkan sembilan jenis kenderaan Pengangkutan Barangan bermula 7 Mac lalu.

Berita Harian X