Sabtu, 11 Mei 2024 | 10:13pm
Calon PRK DUN Kuala Kubu Bharu (dari kiri), Pang Sock Tao, Nyau Ke Xin, Hafizah Zainudin dan Khairul Azhari Saut. - Foto BH
Calon PRK DUN Kuala Kubu Bharu (dari kiri), Pang Sock Tao, Nyau Ke Xin, Hafizah Zainudin dan Khairul Azhari Saut. - Foto BH

Terkini PRK: SPR umum keputusan rasmi, PH kekal kerusi Kuala Kubu Bharu

KUALA KUBU BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi mengumumkan keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Pegawai Pengurus PRK berkenaan, Yuhanas Auree Kamaruddin mengisytiharkan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Pang Sock Tao sebagai wakil rakyat baharu selepas memperoleh 14,000 undi untuk meraih 3,869 undi majoriti.

Calon Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU, Khairul Azhari Saut ketinggalan kira-kira 4,000 undi apabila memperoleh 10,131 undi, diikuti calon Bebas, Nyau Ke Xin dengan 188 undi dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin yang sekadar meraih 152 undi).

"Jumlah undi yang ditolak adalah sebanyak 263. Peratusan pengundian berbanding jumlah pemilih, titik perpuluhan yang paling dekat ialah 61.51 peratus," umum Yuhanas.

Berdasarkan rekod SPR, DUN Kuala Kubu Bharu mengandungi 40,226 pengundi dengan 39,362 pengundi biasa, 625 pengundi anggota polis dan pasangan, 238 pengundi tentera dan pasangan serta seorang pengundi luar negara.

Kira-kira 46 peratus pengundi terdiri Melayu, Cina sekitar 30 peratus, kira-kira 6,000 atau 18 peratus adalah pengundi India, manakala bakinya masyarakat Orang Asli. PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandang kerusi daripada DAP, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Daripada 39,362 pengundi biasa, mereka yang keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK hari ini dilaporkan seramai 24,145 orang.

Berita Harian X