Sabtu, 11 Mei 2024 | 3:54pm
Chen Geok Ai (kiri) selesai mengundi pada PRK Kuala Kubu Bharu dengan ditemani anaknya, Jang Sheu Doon di Pusat Mengundi SJKC Bukit Fraser, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN
Chen Geok Ai (kiri) selesai mengundi pada PRK Kuala Kubu Bharu dengan ditemani anaknya, Jang Sheu Doon di Pusat Mengundi SJKC Bukit Fraser, hari ini. - NSTP/ESSA ABU YAMIN

SJKC Bukit Fraser (Tapak Lama) gedung kenangan pengundi

KUALA KUBU BHARU: Biarpun terletak kira-kira 150 kilometer dari pekan Kuala Kubu Bharu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser (Tapak Lama) yang tidak lagi beroperasi tetap dibuka untuk menerima kehadiran 40 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Malah, pusat pengundian itu dianggap menyimpan seribu kenangan dan ada pengundi sanggup menempuh perjalanan jauh dengan keadaan jalan berliku dan bergunung.

Pengundi warga emas, Chen Geok Ai, 83, dari Petaling Jaya sanggup menggagahkan diri bersama ahli keluarganya ke Bukit Fraser untuk mengundi.

Katanya, sekolah terbabit adalah tempat ahli keluarga dan anak-anaknya bersekolah selain pernah menetap di kawasan terpencil itu selama lebih 40 tahun.

"Saya mesti pergi mengundi di sini, terlalu lama tinggal dan banyak kenangan kerana pernah menjadi penjawat awam lebih 30 tahun dan menjaga rumah agam milik kerajaan sebelum bersara.

"Banyak pilihan raya yang saya lalui menyebabkan mahu kekal mengundi di sini, cuma pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu tidak dapat mengundi kerana masalah kesihatan.

"Hari ini saya datang," katanya ketika ditemui selepas mengundi, hari ini.

Anak sulungnya, Jang Sheu Doon, 61, yang menemani ibunya ke pusat pengundian berkenaan, pernah bersekolah di SJKC Bukit Fraser dan memahami keengganan ibunya menukar pusat pengundian walaupun lebih 20 tahun tinggal di Petaling Jaya.

"Dulu saya sekolah di situ dan kami pernah ada kehidupan di Bukit Fraser lebih 40 tahun.

"Ketika itu ibu bekerja menjaga beberapa banglo termasuk Banglo Sultan Sulaiman milik kerabat diraja Selangor," katanya.

SJKC Bukit Fraser (Tapak Lama) menjadi satu daripada 18 pusat pengundian PRK Kuala Kubu Bharu dan hanya mempunyai 40 pengundi berdaftar di pusat mengundi berkenaan.

Seramai 18 pengundi dilapor keluar mengundi di pusat mengundi berkenaan yang ditutup salurannya pada jam 2 petang tadi.

Berita Harian X