Sabtu, 11 Mei 2024 | 7:31am

PRK KKB: Pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi ini

KUALA LUMPUR: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu membabitkan 39,362 pengundi berdaftar akan bermula jam 8 pagi ini.

Pengundi diingatkan membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian, bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata pengundi perlu menunjukkannya kepada kerani pengundian pertama (KP1) di tempat mengundi masing-masing.

Petugas SPR membuat persiapan hari mengundi Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Petugas SPR membuat persiapan hari mengundi Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Pengundi juga boleh membuat semakan awal maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my, menghubungi talian SPR di 03-88927218 atau melalui aplikasi MySPRSemak.

Ikmalrudin berkata, penggunaan telefon bimbit dilarang di saluran manakala pengundi, calon serta petugas yang ingin memasuki pusat mengundi, tidak dibenarkan memakai baju, topi, pelitup muka atau sebarang bahan yang mempunyai nama, lambang, simbol atau gambar parti serta calon bertanding.

"Kegagalan pengundi mematuhi peraturan ditetapkan boleh menyebabkan mereka dilarang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya," katanya.

Petugas SPR membuat persiapan hari mengundi Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Batang Kali. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Petugas SPR membuat persiapan hari mengundi Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Batang Kali. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Berdasarkan data SPR, seramai 40,226 pemilih layak mengundi termasuk 863 pengundi awal.

SPR turut menasihatkan pengundi mengikut cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan dan mengelak daripada keluar pada saat akhir.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao; Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional/PN); Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia/PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Empat calon PRK Kuala Kubu Bharu merangkumi (dari kiri) Hafizah Zainuddin (PRM), Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Empat calon PRK Kuala Kubu Bharu merangkumi (dari kiri) Hafizah Zainuddin (PRM), Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Demografi PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan 46.4 peratus pengundinya adalah kaum Melayu; pengundi Cina (30.7 peratus); pengundi India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus).

Sebanyak 18 pusat mengundi dengan 74 saluran mengundi akan mula dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Bukit Fraser (Tapak Lama) yang mempunyai 40 orang pengundi dan ditutup 2 petang.

Dua lagi pusat mengundi yang mempunyai satu saluran iaitu Pusat Pembangunan Pendidikan dan Nutrisi Kanak-kanak Kampung Pertak dan Tadika KEMAS Kampung Gerachi Jaya, yang masing-masing mempunyai 179 dan 199 pengundi tetap dibuka hingga jam 6 petang.

Bilangan pengundi teramai direkodkan di Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali, membabitkan 5,889 pengundi menerusi sembilan saluran.

Berdekatan tempat mengundi sama ialah Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali yang mempunyai 3,182 pengundi dengan enam saluran pengundian dibuka.

Menurut ramalan cuaca dikeluarkan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), sebelah pagi dijangka cerah dan ribut petir diramalkan pada sebelah petang.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang diadakan Ogos tahun lalu, mendiang menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Turut bertanding ketika itu ialah calon MUDA, Dr Siva Prakash yang mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai daripada PRM dengan 527 undi.

Petugas SPR membuat persiapan hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu yang akan menjelang esok di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Batang Kali. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Petugas SPR membuat persiapan hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Bharu yang akan menjelang esok di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Batang Kali. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X