Jumaat, 10 Mei 2024 | 10:04pm

Dua dokumentari warisan Malaysia disenarai dalam MOWCAP

KUALA LUMPUR: Dua dokumentari Malaysia berjaya disenaraikan di bawah program Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP) Regional Register, pengiktirafan tertinggi di peringkat Asia Pasifik bagi kategori manuskrip dan dokumentari warisan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua dokumentari itu ialah At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah: Genealogical History of Kedah State dan The Royal Correspondence of Baginda Omar (Surat Persendirian Baginda Omar).

Menurut MOTAC, keputusan pengiktirafan manuskrip itu diumumkan oleh Setiausaha Agung MOWCAP Regional Register, Linh Anh Moreau pada 8 Mei lalu ketika semasa sesi Mesyuarat Agung MOWCAP ke-10 di Ulaanbaatar, Mongolia.

"Pembentangan akhir dibuat wakil Jabatan Warisan Negara (JWN) semasa mesyuarat dan mendapat rekomendasi pihak Register Sub-Committee (RSC) iaitu badan penasihat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebelum ia disokong 23 negara anggota MOWCAP Regional Register," menurut kenyataan itu.

MOTAC menjelaskan At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah: Genealogical History of Kedah State dan The Royal Correspondence of Baginda Omar (Surat Persendirian Baginda Omar) disenaraikan bersama 18 pencalonan dari negara anggota MOWCAP Regional Register.

At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah: Genealogical History of Kedah State ialah karya historiografi yang mengandungi sejarah asal-usul kesultanan dan pembentukan negeri Kedah yang turut mengetengahkan evolusi karya pensejarahan oleh penulis istana Kesultanan Melayu Kedah pada awal kurun ke-12.

Sementara itu, The Royal Correspondence of Baginda Omar (Surat Persendirian Baginda Omar) adalah koleksi dokumen rasmi dan persendirian yang merekodkan peristiwa penting dalam sejarah Terengganu.

Menurut kenyataan itu, selain dapat memberikan promosi dan meningkatkan kebolehlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa, pengiktirafan berkenaan juga memperlihatkan komitmen negara dalam melindungi dokumentari warisan yang menjadi aset sejarah yang penting serta lambang identiti bangsa.

"Pengiktirafan ini juga akan dapat mengukuhkan lagi hubungan serta jaringan kerjasama antara Malaysia, pihak MOWCAP dan negara anggota yang lain dalam hal-hal berkaitan pemeliharaan dan perlindungan manuskrip dan dokumentari warisan," menurut kenyataan itu.

Malaysia secara keseluruhannya telah berjaya menyenaraikan sembilan dokumentari warisan di bawah program Memory of the World iaitu enam di bawah International Register yang berpusat di UNESCO Paris dan tiga di bawah Regional Register yang berpusat di Seoul, Republik Korea. –BERNAMA

Berita Harian X