Jumaat, 10 Mei 2024 | 4:20pm
Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Sukar untuk Malaysia halang Iran jual minyak hanya disebabkan sekatan AS

KUALA LUMPUR: Sukar untuk Malaysia bertindak menghalang Iran daripada menjual minyak atau menggunakan sistem kewangan negara ini hanya disebabkan sekatan unilateral atau sebelah pihak berikutan tindakan sebegitu menyalahi undang-undang maritim negara.

Pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan, berkata paling utama lagi sekatan terbabit tidak dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebaliknya hanya dilakukan Amerika Syarikat (AS).

"Dalam hal ini juga, pendirian Malaysia jelas tidak mengiktiraf sebarang sekatan secara unilateral oleh satu negara terhadap mana-mana negara lain, pertubuhan, individu atau syarikat yang didakwa menyalurkan dana untuk kegiatan pengganas.

"Hakikatnya, tindakan Iran menjual minyaknya menggunakan Malaysia sebagai negara transit juga tidak menyalahi undang-undang negara, jadi memang sukar dan tidak boleh kita menghalang pemindahan minyak dari Iran," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pendirian Malaysia tidak menyokong sebarang kegiatan pengganas, selain turut memberi jaminan terus komited terhadap sebarang usaha membanteras kegiatan pembiayaan keganasan.

Beliau berkata, kerajaan memahami kebimbangan disuarakan AS berhubung kewujudan aktiviti penyaluran dana kepada kumpulan pengganas didakwa terkait dengan negara ini.

Ia kerana sebelum ini, AS percaya perairan Malaysia dan sekitar rantau ini digunakan sebagai lokasi untuk minyak Iran dijual kepada pembelinya bagi mengelak sekatan AS ke atas negara itu.

Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson, dilaporkan berkata AS sudah memantau pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan Malaysia.

Azmi berkata, pendirian Saifuddin juga jelas kerana PBB sendiri masih tidak mengenakan sekatan terhadap Iran dan Malaysia hanya mengikuti larangan sekatan PBB terhadap Russia.

"Misalnya sekatan terhadap Russia itu bermakna terdapat had pembelian, jumlah, berapa sepatutnya dibayar ditetapkan PBB, namun apabila sekatan itu dikenakan secara unilateral oleh AS, maka kita tidak perlu menurutinya," katanya.

Dalam pada itu, Azmi turut menyuarakan kebimbangannya, berikutan kedudukan AS sebagai kuasa besar dunia yang sekali gus membolehkannya melakukan sekatan unilateral.

"Jadi jika Malaysia disekat daripada menggunakan sistem kewangan AS, ia akan menyukarkan kita, terutama apabila kita mempunyai banyak urusan yang membabitkan PETRONAS dengan Iran.

"Sekatan unilateral itu juga mungkin isyarat halus dari AS seperti dimaklumkan Nelson yang mengatakan negaranya akan bertindak, seperti dilakukan pada Disember lalu negara itu mengenakan sekatan terhadap empat syarikat Malaysia yang didakwa membantu pengeluaran dron Iran dan ia masih berkuatkuasa lagi.

"Namun apa yang dibimbangi, AS mengenakan keseluruhan sekatan kepada Malaysia dan keadaan itu amat berbahaya," katanya.

Berita Harian X