Jumaat, 10 Mei 2024 | 12:26pm

Malaysia perlu bina ekosistem AI - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia harus bergerak pantas membina ekosistem yang mantap bagi memacu perkembangan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam era pasca normal pada masa ini.

Perdana Menteri berkata selepas setahun setengah menerajui kerajaan, beliau melihat cabaran negara adalah kesungguhan untuk meneroka pemikiran baharu dan melaksanakannya dengan pantas.

"Saya tegaskan kita tidak boleh dengan pendekatan lama. Kalau kita rasa perlu tambah jurutera harus ada pendekatan segera kerana dalam pasca normal ini, memaksa dan menuntut kita membuat perubahan dengan pantas dan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024 - Boosting the Future (MY AI NEXUS) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, hari ini.

Anwar turut menggariskan empat teras ekosistem berkenaan iaitu tadbir urus AI (AI governance) untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik di samping pemangkin AI melalui Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAIC) bagi memastikan penyelarasan dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aplikasi AI.

Selain itu pembangunan industri AI melalui kerjasama dengan syarikat multinasional dan keempat, bakat AI yang merangkumi profesional dan individu berkemahiran melalui program pendidikan dan latihan serta kerjasama industri dengan akademia.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Bagi memastikan Malaysia mempunyai ekosistem mantap untuk menarik pelaburan dalam bidang berkenaan, Anwar meminta semua menteri yang terbabit untuk memberi fokus terhadap penjawat awam, universiti dan institusi latihan bahawa harus ada langkah segera ke arah itu.

4 bulan UTM bangunkan Fakulti AI

Perdana Menteri yang turut melancarkan Fakulti AI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada majlis hari ini, seterusnya memuji kejayaan universiti berkenaan membangunkan fakulti itu dalam masa hanya empat bulan selepas diminta oleh kerajaan.

Beliau turut menekankan keperluan melahirkan lebih ramai jurutera berkemahiran memandangkan Malaysia ketika ini kekurangan kira-kira 30,000 jurutera bagi memenuhi keperluan industri.

Anwar seterusnya menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), universiti dan institusi latihan untuk berinteraksi dengan wakil industri mengenai keperluan untuk meningkatkan mutu latihan bagi melahirkan jurutera berkemahiran tinggi.

"Saya tanya wakil Nvdia, Google, Microsoft, Amazon, Huawei serta Ericsson, dan semua menyatakan dari segi disiplin anak-anak kita, jurutera baharu dan graduan sains cukup baik, tetap ada kekurangan dari segi kemahiran, keterampilan dan pengkhususan yang diperlukan," katanya.

Perdana Menteri berkata universiti dan institusi latihan perlu memberi penekanan kepada kualiti jurutera yang dilahirkan dan bukan bilangan semata-mata kerana pelaburan dalam negara akan terjejas jika industri merasakan kemahiran mereka tidak mencapai tahap diperlukan.

Beliau turut menekankan keperluan menarik semula minat anak-anak muda terutamanya pelajar sekolah terhadap mata pelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) yang ketika ini semakin terhakis.

"Kalau tidak, ekosistem itu tidak akan terbina. Kita boleh bicara dan meluncurkan AI hari ini, tetapi persiapan daripada akar umbi dan meningkat ke peringkat tinggi tidak ada," katanya.

Untuk itu, beliau berkata semua peringkat daripada Kementerian Pendidikan dan sekolah perlu memikirkan kaedah untuk menjadikan mata pelajaran itu diminati dan tidak membosankan, sambil menambah pengajaran melalui teknologi AI boleh dipertimbangkan untuk menarik minat mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika merasmikan Program Malaysia Artificial Intelligence Nexus – Boosting The Future, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika merasmikan Program Malaysia Artificial Intelligence Nexus – Boosting The Future, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X