Jumaat, 10 Mei 2024 | 9:46am
Suasana perang bendera dan poster di sekitar pekan Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Suasana perang bendera dan poster di sekitar pekan Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu. - NSTP/Eizairi Shamsudin

PRK KKB: Saingan sengit, peluang sama rata

ESOK (Sabtu) pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu bakal menentukan siapa calon daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) atau calon Bebas yang dipilih menjadi wakil rakyat baharu bagi menerajui kawasan itu.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini 40,226 pengundi berdaftar dengan 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Sepanjang tempoh berkempen, persaingan sengit sudah pasti terarah kepada dua calon dari gabungan parti politik utama negara, daripada PH yang diwakili Pang Sock Tao dan PN, Khairul Azhari Saut.

Bagi jentera yang digerakkan parti Kerajaan Perpaduan yang terdiri PH dan Barisan Nasional (BN), mereka melipatgandakan usaha mendekati pengundi dengan tidak hanya memberi fokus terhadap kaedah fizikal.

Bahkan penggunaan media sosial, termasuk rakaman video yang dimuat naik di platform itu bagi 'memujuk' dan 'mempengaruhi' pengundi yang tinggal di luar kawasan Kuala Kubu Bharu.

Malah, pemimpin bertaraf top gun turut turun berkempen membantu calon dan jentera PH.

Namun, difahamkan pemimpin PH bimbang kebarangkalian peratusan keluar mengundi rendah sehingga boleh mempengaruhi peluang calonnya menang.

Bukan sahaja risau akan pengundi Melayu sekitar 47 peratus, tambahan ada kemungkinan transisi sokongan pengundi India yang mewakili 17 peratus yang bertindak memboikot atau beralih menyatakan sokongan kepada parti lawan.

Jika dilihat, trend sokongan kepada PH didominasi oleh pengundi Cina sekitar 30 peratus seperti yang dilihat pada beberapa pilihan raya sebelum ini.

Analisis NSTP menunjukkan perubahan pengundi Cina dalam sokongan parti itu dari Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) hingga Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu dan peningkatan sokongan itu konsisten terhadap PH.

Malah, pada PRN lalu melalui kerjasama BN dan PH, pakatan ini masih menerima sokongan yang kuat daripada pengundi Cina di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Pada masa sama, sokongan terhadap PH dalam kalangan pengundi Melayu semakin berkurangan, walaupun mereka bergabung dengan BN pada PRN 2023. Gabungan PH/BN pada PRN tidak berjaya menarik sokongan seperti ketika PRU15.

Bagi sokongan pengundi Melayu pula, di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, terdapat peningkatan sokongan terhadap PN mendekati purata 50 peratus pada PRN.

Berdasarkan pilihan raya yang lalu, sokongan pengundi Melayu dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu PN dan gabungan PH/BN. Bagi PRK kali ini, PN memutuskan seorang calon Melayu bagi menarik lebih lagi sokongan pengundi Melayu.

Pemerhati politik berpendapat pengundi kaum India boleh menjadi penentu atau 'king maker' bagi PRK kali ini. Apa faktornya? Satu daripadanya adalah seruan bekas pemimpin tertinggi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy yang menggesa masyarakat India memboikot pilihan raya esok.

Tindakan Ramasamy dilihat mungkin boleh memecah undi PH. Situasi ini diakui beberapa pengundi India yang ditemui sekitar bandar Kuala Kubu Bharu.

Kehadiran MIPP beri kesan

Ditambah pula dengan kehadiran parti serpihan MIC, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sebagai 'pendatang' baharu dalam PN dilihat ada implikasinya terhadap corak undi kaum itu.

Menyoroti prestasi PH pada PRN enam negeri lalu berdasarkan hasil analisis dilakukan NSTP menunjukkan 10 daripada 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Kuala Kubu Bharu dikuasai oleh gabungan parti itu.

Ia termasuk, Ladang Nigel Gardner, Lembah Beringin, Kampung Baru Kerling, Bandar Kuala Kubu Bharu, Kampung Baru Cina Kuala Kubu Bharu, Jalan Kuala Kali, Pekan Rasa, Batu 30 Ulu Yam, Hulu Yam Lama dan Kampung Baru Rasa.

Bagi BN pula, tiada PDM dikuasai gabungan itu ekoran kalah teruk pada PRN lalu. Oleh itu, kehadiran pemimpin dan jentera BN dalam kempen kali ini dijangka tidak memberikan kesan besar lagi-lagi kepada pengundi Melayu.

Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) PKR Selangor mensasarkan enam PDM yang memiliki ramai pengundi kaum Melayu termasuk menjadi kawasan campuran Melayu-India, seperti Pertak, Ampang Pechah, Lembah Beringin, Ladang Nigel Gardner, Bandar Utama Batang Kali dan Batu 30 Ulu Yam.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan penduduk setempat pada program ramah mesra Perikatan Nasional Bersama Masyarakat India di Bandar Utama Batang Kali, semalam. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan penduduk setempat pada program ramah mesra Perikatan Nasional Bersama Masyarakat India di Bandar Utama Batang Kali, semalam. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Mengimbau pencapaian PN pada PRN lalu, empat daripada 16 PDM boleh dikatakan dikuasai oleh gabungan parti itu merangkumi Pertak, Bandar Utama Batang Kali, Ampang Pechah dan Kampung Air Jernih, manakala penguasaan di PDM Kerling boleh dikategorikan sebagai sama rata kerana memiliki pengundi yang hampir seimbang jumlahnya.

Tidak terkecuali, pengundi masyarakat Orang Asli juga boleh dikatakan seimbang antara PN dan BN. Walaupun hanya 2.57 peratus daripada jumlah pengundi di Kuala Kubu Bharu, undi mereka masih boleh memberi kesan kepada keputusan mengundi esok.

Kehadiran Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor yang juga masyarakat Orang Asli berkempen bersama Sock Tao di perkampungan Orang Asli di DUN itu mungkin memberi sedikit kelebihan kepada PH.

Isu calon anak tempatan

Empat calon yang bersaing pada PRK Kuala Kubu Bharu. (Dari kiri) Khairul Aizat (PN); Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah (PRM) dan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dari DAP. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Empat calon yang bersaing pada PRK Kuala Kubu Bharu. (Dari kiri) Khairul Aizat (PN); Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah (PRM) dan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dari DAP. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Selain isu tempatan seperti peluang pekerjaan, infrastruktur asas dan pelancongan yang menghiasi sepanjang kempen PRK terbabit, tidak kurang isu calon anak tempatan juga dimainkan sepanjang kempen.

Tidak terkecuali isu nasional seperti isu ekonomi dan kos sara hidup yang membebani rakyat ketika ini turut berlegar-legar apabila ia sering kali dijadikan modal kempen parti bertanding.

Hasil tinjauan sekitar bandar Kuala Kubu Bharu dan pekan kecil sekitar DUN berkenaan mendapati ada penduduk yang mengakui terkesan dan tertekan dengan isu di peringkat nasional.

Mereka juga tidak menolak isu nasional yang menghimpit rakyat ketika ini mungkin mempengaruhi pendirian lantas diterjemah kepada corak pengundian esok.

Analisis NSTP itu meringkaskan PH/BN perlu fokus kepada pengundi Melayu kerana PN meletakkan calon Melayu selain fokus yang sama kepada pengundi India, serta mengekalkan sokongan kuat pengundi Cina.

Bagi PN, fokus mereka kini untuk menarik lebih lagi sokongan pengundi Melayu berbanding dicatatkan pada PRU15 dan PRN lalu.

Data menunjukkan sokongan pengundi India kepada PN pada PRN lalu meningkat, dan jika trend itu berterusan ia boleh menjejaskan peluang PH.

Kebanyakan pemerhati politik berpendapat keputusan PRK kali ini dijangka lebih sengit dengan kedua-dua calon mempunyai peluang sama rata, manakala majoriti lebih kecil berbanding kemenangan calon DAP sejak tiga penggal lalu.

Berita Harian X