Khamis, 9 Mei 2024 | 8:58pm
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 diadakan di Kuantan

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan, Pahang, selama tiga hari bermula 14 Mei ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata sambutan kali ke-53 bertema 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI' itu dijadual dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, antara objektif sambutan Hari Guru tahun ini ialah memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan peranan guru dalam usaha membangunkan anak bangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

"Kita juga mahu menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai mengenai peranan guru. Guru disebut sebagai ejen perubahan dalam masyarakat.

"Selain itu, hasrat kita melalui sambutan ini ialah memupuk perpaduan serta muhibah dalam kalangan guru, selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan apa yang terkandung dalam Rukun Negara," katanya ketika menjadi tetamu program Temu Bual Radio di Bernama Radio bertajuk 'Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI', hari ini.

Sepanjang tiga hari program itu berlangsung, Azman berkata, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan bukan saja membabitkan penyertaan guru dan murid tetapi juga ibu bapa serta masyarakat, dengan lima kluster diketengahkan.

"Kluster berkenaan ialah kluster jasmani, intelektual, bakat, rohani dan apresiasi. Bawah kluster apresiasi, acara kemuncak ialah penyampaian anugerah utama, iaitu Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, Anugerah Khas Pendidikan juga akan disampaikan kepada guru yang cemerlang dari segi penciptaan kandungan digital.

Bawah Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan pada akhir 2023, beliau berkata, fokus diberikan kepada perancangan, pelaksanaan dan inisiatif program berkaitan digital.

Katanya, ia bertujuan memastikan anak-anak memiliki kecekapan digital yang memadai, selain menyesuaikan diri dengan kehidupan yang semakin berkembang melalui teknologi digital.

Oleh itu, beliau menjelaskan adalah penting untuk guru-guru memiliki kecekapan digital yang tinggi, sekali gus menguasai segala aspek pengetahuan dan kemahiran berkaitan digital.

"Sebab itu apabila kita sebut 'Guru Jauhari Digital', ia membawa konotasi bahawa sekumpulan guru yang mahir berkaitan penggunaan digital dan dapat mengintegrasikan aspek digital dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X