Khamis, 9 Mei 2024 | 7:26pm
Brian Nelson. - Foto Agensi
Brian Nelson. - Foto Agensi

AS dakwa perairan Malaysia, rantau ini jadi tumpuan seleweng minyak dari Iran

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) percaya perairan Malaysia dan sekitar rantau ini digunakan sebagai lokasi untuk minyak Iran dijual kepada pembelinya bagi mengelak sekatan AS ke atas negara itu.

Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson, berkata AS sudah memantau pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan Malaysia.

Beliau berkata, lawatannya ke rantau Asia Tenggara dari 6 Mei hingga hari ini, lebih berkisar kepada dua isu utama, iaitu mengganggu keupayaan Russia untuk mengekalkan perangnya di Ukraine serta menentang pembiayaan pengganas oleh Iran dan proksinya.

"Kami tahu, antara cara utama rejim Iran mengumpul wangnya untuk meneruskan keganasan dan ketidakstabilan adalah melalui penjualan minyak haram kepada pembeli di Asia Timur.

"Kebanyakannya dimuatkan ke dalam kapal yang boleh dipersoal di perairan, yang menimbulkan risiko besar terhadap alam sekitar serta keselamatan.

"Kami amat prihatin terhadap sesiapa saja yang menyediakan perkhidmatan kepada kapal-kapal ini, terutamanya mereka yang menjalankan pemindahan minyak haram dari kapal ke kapal.

"Pemindahan berisiko ini boleh mengakibatkan kemalangan atau tumpahan minyak yang mengancam pantai Malaysia, biarpun ia berlaku di perairan antarabangsa," katanya dalam temubual bersama media Malaysia di sini, hari ini.

Nelson berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kejadian seperti itu biasanya berlaku pada waktu malam.

Buktinya, kata beliau, menerusi tindakan kapal-kapal yang didapati mematikan peranti lokasi mereka atau memalsukan dokumen untuk mengelak barangan dibawanya dikesan.

"Kami melakukan segala yang mampu untuk memberi amaran kepada kedua-dua ancaman itu, namun juga langkah kritikal yang boleh dan harus diambil oleh setiap pelaku industri untuk mengelak amalan itu daripada berterusan," katanya.

Beliau berkata, adalah penting bagi Malaysia, yang memainkan peranan penting dalam perdagangan dan kewangan global, menggunakan bidang kuasanya mengelak dari 'watak jahat' yang cuba menyembunyikan dan memindahkan dana mereka.

"Malaysia adalah rakan kongsi penting bagi AS dan ratusan firma kami berada di sini serta menggaji ratusan ribu rakyat Malaysia dalam pekerjaan yang baik dan bergaji tinggi.

"Syarikat-syarikat AS, tidak kira di mana mereka beroperasi, ingin tahu apabila mereka menjalankan perniagaan, mereka tidak meletakkan operasi mereka pada risiko pelanggaran undang-undang dengan membabitkan diri dalam sistem kewangan yang dicemari oleh kewangan haram," katanya.

Nelson berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan secara terbuka dan terus terang dengan Kerajaan Malaysia sambil menjelaskan kebimbangannya serta mengenal pasti langkah seterusnya.

Beliau juga berkata, bekerjasama dengan rakan kongsi adalah cara paling berkesan untuk menangani cabaran sedemikian, mengenai pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.

"Namun di penghujungnya, kami sentiasa bersedia untuk menggunakan keupayaan dan kuasa kami, dimana Perbendaharaan juga perlu menangani cabaran itu," katanya.

Nelson mengakui, Kerajaan AS dan Malaysia mempunyai pendirian yang berbeza mengenai Hamas sebagai sebuah organisasi.

Bagaimanapun, beliau menyatakan, tiada siapa juga yang mahu sistem kewangan mereka disalahgunakan.

Hamas, dakwa beliau, tidak mengumpul dana secara terang-terangan, sebaliknya menggunakan tipologi pengubahan wang haram untuk mengumpul dana.

Beliau berkata, dari perspektif AS, terdapat perbezaan antara Hamas dan rakyat Palestin.

"Kami memberi tumpuan melakukan segala yang kami mampu untuk menyokong bantuan kemanusiaan yang disalurkan kepada rakyat Palestin.

"Salah satu cara yang boleh kita lakukan ialah bertindak mengikut bidang kuasa yang ada, yang mana kita tahu Hamas dan kumpulan lain memiliki sejarah cuba menggunakan cara ini untuk mengumpul dana. Atas pelbagai sebab, kami fikir ia kunci untuk menamatkan konflik ini.

Namun katanya, sebab yang lebih asas ialah memastikan bahawa bantuan itu benar-benar sampai kepada rakyat Palestin dan bukan untuk menangani konflik ini.

"Kami menggesa mereka yang ingin menyokong bantuan kemanusiaan di Gaza untuk berbuat demikian menerusi pihak yang sah dan mempunyai reputasi untuk memastikan ia tidak dialihkan," katanya.

Nelson juga berkata, sekatan yang dikenakan pada Disember ke atas empat syarikat yang berpangkalan di Malaysia, yang dituduh membantu dalam pengeluaran dron Iran, memberi kesan dan masih ada.

"Namun, saya fikir perkara yang lebih berkesan pada akhirnya ialah perkongsian bidang kuasa dan keupayaan untuk memastikan usaha membendung pengubahan wang haram dan menentang pembiayaan 'rejim' keganasan lebih berdaya tahan," katanya.

Berita Harian X