Khamis, 9 Mei 2024 | 4:03pm
Gambar fail kejadian 23 April lalu
Gambar fail kejadian 23 April lalu

Keluarga akur laporan awal, sabar tunggu siasatan penuh

ALOR SETAR: Keluarga kepada mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak bulan lalu, akur dengan laporan awal siasatan yang dikeluarkan lembaga siasatan hari ini.

Noryani Tamadun, 50, berkata keluarganya menerima baik laporan berkenaan dan akan bersabar menunggu laporan akhir yang dijangka siap pada 28 Mei ini.

Katanya, sebagai kakak sulung kepada Allahyarham Pegawai Waran II Muhammad Faisol, 36, dia sentiasa mendoakan proses siasatan punca nahas berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.

"Saya dan adik beradik lain sudah terima adik bongsu kami sudah tiada, kami boleh terima kenyataan. Arwah ada kubur, pagi semalam selepas berniaga nasi lemak saya sempat ziarah kuburnya.

"Tanah di kubur arwah adik juga sudah mendap, insya-Allah mengikut perancangan keluarga esok kami akan pasang batu nisannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Allahyarham Muhammad Faisol adalah anak bongsu daripada empat beradik berasal dari Kampung Tanah Hitam, Sik, meninggalkan seorang isteri dan dua anak perempuan.

Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki bergesel dan terhempas ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Terdahulu, Lembaga Siasatan dua helikopter terhempas di PangkalanTLDM Lumut mendedahkan lima fakta dalam laporan awal yang dikeluarkan berhubung tragedi itu.

Laporan awal TLDM itu, antaranya menyatakan kesemua kru yang terbabit dalam insiden itu berada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat (fit to fly) dan tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terbabit juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Selain itu, dua helikopter itu disahkan berada dalam keadaan 'airworthy' (selamat untuk terbang) pada hari kejadian serta pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 (21 tahun) tidak dilengkapi dengan peralatan berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan isteri dan anak-anak Allahyarham, Noryani berkata balunya dalam keadaan baik namun anak bongsu adiknya itu kerap demam kerana terlalu merindui bapanya.

"Mereka masih berada di Sungai Petani berada di rumah keluarga (isteri mangsa) dan dijangka pulang ke Lumut Sabtu ini, anak sulung arwah berusia 10 tahun dapat terima papanya sudah tiada, cuma yang bongsu berusia enam tahun dia demam sekarang.

"Dia selalu panggil papa, ulang kata nak papa, nak papa, dia mungkin terlalu rindukan papa dia sebab sebelum ini arwah akan pulang berjumpa mereka lama-lama sekali," katanya.

Berita Harian X