Khamis, 9 Mei 2024 | 3:19pm

Rayuan Daim cabar siasatan SPRM ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Tun Daim Zainuddin dan keluarganya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi, yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azizul Azmi Adnan, membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara.

Daim yang juga bekas Menteri Kewangan dan keluarga memfailkan rayuan pada 5 Mac lalu, sehari selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Pada 4 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, memutuskan bahawa Daim dan keluarganya gagal membuktikan terdapat unsur niat jahat terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.

Daim, 85; isterinya, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, 66; dan empat anak mereka iaitu Asnida, 62; Md Wira Dani, 45; Muhammed Amir Zainuddin, 28; dan Muhammed Amin Zainuddin, 25; selain Ilham Tower Sdn Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 10 Januari lalu.

Mereka menamakan SPRM dan pendakwaan sebagai responden.

Menerusi permohonan itu, Daim mendakwa SPRM pada 30 Disember 2023 mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan terhadapnya dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.

Daim berkata, Kertas Pandora ialah fail sulit yang bocor pada 2021 yang mendedahkan nama-nama pemilik syarikat luar pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia dan semua fail tidak menunjukkan sebarang salah laku beliau dan keluarganya.

Oleh itu, mereka memohon antara lain perintah mahkamah supaya SPRM dan pegawainya

membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap pemohon dari Februari 2023 sehingga kini serta membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM.

Azizah berkata, aduan oleh Daim boleh dibangkitkan ketika perbicaraan atau permohonan untuk membatalkan pertuduhan.

"Tidak boleh dikatakan satu-satunya pilihan bagi pemohon ialah semakan kehakiman kerana kesahihan pertuduhan boleh dicabar dalam perbicaraan jenayah itu sendiri," katanya.

Berita Harian X