Khamis, 9 Mei 2024 | 2:43pm
Muslilah ketika ditemui di premis Astana Cinta Bridal
Muslilah ketika ditemui di premis Astana Cinta Bridal

AIM realisasi cita-cita Muslilah jadi perunding perkahwinan

SENAWANG: Ketekunan dan jerih-perih bekas pekerja kilang ini meningkatkan kemahiran diri dalam pelbagai cabang ilmu yang berkaitan majlis perkahwinan sejak 17 tahun lalu, membuahkan hasil apabila kini bergelar usahawan dengan membuka perniagaan perunding perkahwinan.

Muslilah Deris, 44, yang menetap di Air Mawang, Kuala Pilah dekat sini, berkata dia bermula dengan menjadi jurusolek pengantin secara kecil-kecilan.

Kini, dia berbangga kerana perniagaan perunding perkahwinan diusahakan bertambah maju sehingga dikenali masyarakat setempat melalui jenamanya, Astana Cinta Bridal.

Selain menambah keluasan kedai, Muslilah juga melebarkan khidmat perniagaannya kepada khidmat perundingan yang meliputi pelbagai perkara seperti katering, hiasan pelamin, andaman, fotografi, cenderahati, pakaian dan solekan.

Perkhidmatan ditawarkan secara tidak langsung dapat membantu bakal pengantin dan keluarga melaksanakan keseluruhan majlis perkahwinan, bermula dari majlis pernikahan, malam berinai hinggalah majlis resepsi berlangsung.

Katanya, semua itu dikecapi hasil usaha gigihnya di samping bantuan modal daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berperanan membantu golongan kurang berkemampuan, khususnya di luar bandar menerusi pembiayaan terhadap kegiatan menambahkan pendapatan.

Usaha tambah ilmu

"Saya memulakan kerjaya dengan melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah bekerja di kilang, menjual nasi lemak dan membekalkan makanan ke kilang.

"Menyedari kepentingan untuk memperbaiki diri dan keluarga, saya berusaha untuk menambah ilmu dengan mengikuti pelbagai kursus terutamanya, mempelajari teknik solekan.

"Selepas ada kemahiran, saya melakukan kerja sambilan dengan mendapat panggilan untuk melakukan solekan pengantin di sekitar Senawang," katanya.

Muslilah berkata, akhirnya ia mendorongnya menanam tekad untuk memulakan perniagaan sendiri.

Menurutnya, kehidupannya berubah sedikit demi sedikit apabila dia mula mendapat bantuan AIM bagi meneruskan perniagaan dengan pinjaman pertama dibuat sebanyak RM3,000.

Hasil ketekunan selain patuh membayar pinjaman setiap minggu, Muslilah berkata, dia dibenarkan untuk melanjutkan pinjaman.

"Sehingga ke hari ini, saya sudah membuat pinjaman hampir RM200,000 daripada AIM. Saya bersyukur kerana jika bukan bantuan AIM, tentu kehidupan saya dan keluarga tidak sebaik sekarang," katanya.

Muslilah kini merancang untuk membesarkan perniagaan dan meluaskan butiknya dengan menawarkan pelbagai pakej perkahwinan mengikut trend terkini dan kontemporari serta memenuhi cita rasa bakal pengantin mengikut bajet dan kemampuan masing-masing.

Berita Harian X