Khamis, 9 Mei 2024 | 10:07am
Suasana di dalam Raudah yang sentiasa penuh dengan jemaah dari seluruh negara. - Foto NSTP
Suasana di dalam Raudah yang sentiasa penuh dengan jemaah dari seluruh negara. - Foto NSTP

Raudah impian setiap jemaah

MADINAH: Raudah adalah satu tempat yang menjadi impian setiap jemaah haji atau umrah apabila sampai di Madinah hinggakan kadang-kadang mereka terlupa akan adab-adab dan tingkah laku ketika berziarah.

Kebanyakan jemaah akan berasa teruja dan sibuk mengambil gambar atau video seawal sampai di pintu masuk hingga terlupa dengan ibadat yang patut dibuat ketika di tempat yang paling mustajab berdoa itu.

Pengurus Ibadat Madinah Tabung Haji (TH), Muhammad Fakhrur Ridzwan Othman, berkata jemaah perlu menjaga adab ketika berada di dalam Raudah dan perlu lakukan perkara yang penting terlebih dulu iaitu solat sunat dua rakaat dan berdoa kerana masa yang diberikan sangat terhad.

"Oleh kerana masa sangat terhad bagi setiap jemaah, kita hendaklah bermula dengan solat sunat dua rakaat sebaik sampai ke dalam Raudah. Boleh solat sunat tahiyatul masjid, solat hajat atau solat sunat mutlak, lalu berdoalah sebanyaknya di dalam Raudah," katanya dalam sesi termubual bersama petugas media di Madinah semalam.

"Lepas habis solat dan berdoa, barulah ambil gambar sekadar yang mungkin sebelum keluar dari Raudah. Banyakkan juga selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW semoga kelak kita diberikan syafaat di akhirat kelak," katanya lagi.

Sebelum masuk ke Raudah setiap jemaah dikehendaki memindah turun aplikasi Nusuk bagi menempah tarikh dan waktu yang diinginkan.

Namun, bagi jemaah haji Musim Haji 1445H/2024, mereka tidak perlu bimbang kerana pihak TH akan membantu membuat permohonan secara berkumpulan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengikut KT masing-masing.

Bagaimanapun, ia masih tetap bergantung kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi.

Ziarah dalam terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu ziarah makam Rasulullah SAW, kubur Baqi' dan Raudah, manakala ziarah luar membabitkan lawatan ke Masjid Quba', Masjid Qiblatain, Masjid Khandaq atau kompleks Masjid 7 dan Bukit Uhud.

Setiap jemaah juga berpeluang melawat ke ladang kurma yang ditetapkan oleh pihak TH.

Berita Harian X