Khamis, 9 Mei 2024 | 8:46am
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Dari kiri Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Surat kepada 7 wakil rakyat BERSATU dihantar serentak, minggu depan - Hamzah

HULU SELANGOR: Surat berkaitan status keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU yang masing-masing menyokong pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor akan dihantar minggu hadapan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata surat berkenaan akan dihantar secara serentak kepada semua wakil rakyat berkenaan, sejurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu selesai.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menegaskan BERSATU antara lain jelas dengan keputusan untuk menghentikan keahlian Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang menjadi antara wakil rakyat terawal menyokong pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Suhaili yang pertama akan menerima surat (terhenti keahlian) kerana ada perkara tertentu, memang sudah ada keputusan kita yang hanya mahu menunggu pengesahan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU).

"Dua lagi wakil rakyat BERSATU (Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari) yang berceramah di pentas ceramah Pakatan Harapan (PH) (di Kuala Kubu Baharu).

 Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto fail NSTP
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto fail NSTP

"Kalau mengikut perlembagaan kita (BERSATU) secara automatik mereka (Zulkafperi dan Abdul Rashid) ini terhenti menjadi ahli BERSATU, maka kita akan bawa juga untuk buat pengesahan (di mesyuarat MPT) nanti," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri ceramah umum gabungan berkenaan dekat Batang Kali di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, parti itu kekal dengan pendirian enam Ahli Parlimennya yang menyokong pentadbiran Anwar, akan kehilangan kerusi berdasarkan pindaan perlembagaan parti itu yang sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Beliau berkata nasib keenam-enam mereka akan diketahui tidak lama lagi selepas mesyuarat MPT parti itu yang akan dipengerusikan Ahli Parlimen Pagoh itu dalam masa terdekat.

Selain Suhaili dan Zulkafperi, empat lagi Ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Abdul Rashid pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Hamzah berkata, semua wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada PRK untuk diadakan selepas keahlian mereka dalam BERSATU terhenti kelak.

"Mereka terhenti menjadi ahli, maka dalam akta (lompat parti) sudah diluluskan. Maknanya kawasan mereka juga terpaksa mereka lepaskan kerusi," katanya.

Ditanya kemungkinan ada antara wakil rakyat terbabit membawa kes ke mahkamah, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut bagaimanapun, menyifatkan tindakan itu adalah perkara biasa.

"Bila terhenti (keahlian), mereka mahu bawa ke mahkamah itu biasalah," katanya.

Berita Harian X