Rabu, 8 Mei 2024 | 1:32pm
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan (MKI), Datuk Dr Noor Gadut berucap pada Majlis Ulama Asia 2024 di Kuala Lumpur, hari ini. --BERNAMA
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan (MKI), Datuk Dr Noor Gadut berucap pada Majlis Ulama Asia 2024 di Kuala Lumpur, hari ini. --BERNAMA

Ulama, pemimpin Islam perlu kerjasama capai perpaduan ummah

KUALA LUMPUR: Golongan ulama dan pemimpin Islam perlu bekerjasama bagi mencapai matlamat perpaduan ummah serta menyelesaikan sebarang konflik yang berlaku dalam masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata dalam menjayakan matlamat itu, golongan berkenaan, selain saintis Islam perlu menunjukkan teladan dengan memperkukuh perpaduan dalam kalangan mereka terlebih dahulu.

Justeru, katanya, penganjuran program Majlis Ulama Asia 2024 adalah sebahagian usaha untuk membawa perpaduan dalam kalangan mereka, yang kemudian membawanya ke dalam kehidupan umat Islam dan masyarakat.

"Umat Islam perlu sedar bahawa usaha untuk merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi dengan matlamat mencapai kemaslahatan ummah dan menolak ekstremis serta kepercayaan yang melampau.

"Perbezaan harus dijadikan sebagai kelebihan berbanding kelemahan, manakala sebarang persamaan harus digunakan sebagai sumber kekuatan.

"Sesungguhnya kemuliaan ummat Islam, jatuh bangun sesebuah masyarakat, bangsa atau negara terletak pada perpaduannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulama Asia 2024 di sini, hari ini. Majlis dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Na'im berharap majlis itu dapat membuka skop kerjasama, kesepakatan dan persefahaman yang lebih baik dalam kalangan ulama, pemimpin serta saintis Islam pada masa hadapan.

"Persetujuan sesama Islam ulama, pemimpin dan saintis dalam menangani tindakan melampau dan menolak segala bentuk fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam akan membantu memupuk perpaduan dalam masyarakat," katanya.

Majlis Ulama Asia 2024, anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Liga Dunia Islam, Arab Saudi bertujuan memupuk perpaduan dan nilai murni serta menghormati perbezaan pelbagai dimensi dari sudut berdasarkan teras MADANI, teologi dan sosiologi.

Persidangan dengan tema 'Perpaduan' yang diadakan sehari selepas Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia 2024 itu dihadiri 200 peserta, terdiri daripada ulama Islam dari negara-negara Asia.

Berita Harian X