Rabu, 8 Mei 2024 | 12:48pm
Dayang Norayah memetik sayur di kebun yang diusahakannya
Dayang Norayah memetik sayur di kebun yang diusahakannya

Syarat pembiayaan mudah AIM atasi kekangan modal

RANAU: Berpengalaman lebih dua dekad berniaga dalam bidang peruncitan menjadikan wanita berusia separuh abad ini semakin peka selok-belok perniagaan dan cekal berdepan dengan pelbagai cabaran.

Selain itu, Dayang Norayah Ahmad @ Amat berusia 53 tahun, juga adalah pekebun, pemborong dan penjual sayur di Kundasang, di sini.

Sebagai seorang pekebun dan pemborong sayuran tanah tinggi di Kundasang, setiap hari dia akan mengurus kebun dan juga memborong sayuran dari kebun, kemudian meletakkan sayuran berkenaan di stor untuk dijual ke seluruh Sabah.

"Setiap hari saya akan memborong sayur bermula seawal jam 4 pagi sehingga selesai di mana selepas itu pembeli yang datang dengan lori akan mengambil sendiri sayur yang diborong di Pekan Kundasang.

"Selesai urusan menjual sayur, saya akan ke kebun untuk memantau kebun," katanya.

Sepanjang perjalanan dalam perniagaan, dia menghadapi pelbagai dugaan terutama faktor cuaca yang tidak menentu sehingga menyebabkan sayur tidak menjadi dan proses kerja turut terganggu.

"Keadaan ini, selain kekangan modal dan persaingan daripada peniaga lain mengakibatkan pendapatan saya agak tidak menentu yang menyukarkan perniagaan saya berkembang," katanya.

Ramai dapat bantuan

Justeru katanya, bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang diperkenalkan oleh rakannya yang sudah berjaya mengembangkan perniagaan mereka amat dialu-alukan.

"Saya mendapat tahu mengenai perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan oleh AIM daripada kawan saya yang juga peniaga di sini.

"Saya melihat, ramai antara mereka juga berjaya selepas dibantu oleh AIM untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

"Kaedah pembayaran kini juga mudah dengan pengenalan sistem pembayaran yang baharu dan pembayaran pembiayaan AIM boleh dibayar secara dalam talian (online), berbanding kutipan bayaran secara fizikal sebelum ini.

Dayang Norayah menambah, AIM banyak menyediakan kursus berkaitan perniagaan yang sangat membantu peserta mengembangkan lagi perniagaan dan lebih maju ke hadapan.

"Cara dan syarat permohonan pembiayaan AIM juga sangat memudahkan peserta kerana tidak perlu menyediakan kertas kerja yang rumit dan hanya perlu terus berusaha untuk berjaya ke hadapan dengan bantuan diberikan AIM selepas itu.

"Pembayaran dan aktiviti pertemuan dengan rakan peserta niaga yang lain dalam tempoh seminggu sekali juga membolehkan kami bertukar pendapat bagaimana untuk terus berjaya ke hadapan seiring dengan panduan AIM.

"Dengan pembiayaan AIM ini saya dapat membina kebun sayur berbumbung serta mendapat tambahan modal pusingan memborong sayur," katanya.

Berita Harian X