Selasa, 7 Mei 2024 | 3:05pm
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyaksikan demonstrasi penggunaan kad Hygiene Aid oleh pelajar sambil disaksikan Naib Presiden Pemasaran Syarikat Etika Sdn. Bhd, Amy Gan (kanan) di Majlis Pelancaran Kempen Hygiene Aid di Dewan Wawasan, Sekolah Menengah Sains Selangor. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyaksikan demonstrasi penggunaan kad Hygiene Aid oleh pelajar sambil disaksikan Naib Presiden Pemasaran Syarikat Etika Sdn. Bhd, Amy Gan (kanan) di Majlis Pelancaran Kempen Hygiene Aid di Dewan Wawasan, Sekolah Menengah Sains Selangor. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Dua sekolah dapat kemudahan usaha perangi kemiskinan haid

KUALA LUMPUR: Seramai 600 pelajar perempuan daripada dua sekolah di Bandar Tun Razak, Cheras dan Hospital Tuanku Canselor Muhriz (HCTM) di sini, menerima akses percuma tuala wanita setiap bulan selama enam bulan yang diagihkan menerusi mesin layan diri sebagai usaha mengatasi masalah kemiskinan haid.

Dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Razak serta HCTM masing-masing ditempatkan satu mesin layan diri tuala wanita dan mereka yang layak akan menggunakan kad akses bagi mendapat kemudahan itu apabila memerlukannya.

Usaha itu dilaksanakan oleh syarikat pengendali mesin layan diri, ATLAS Vending dan turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta Libresse Malaysia.

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kajian menunjukkan masih ramai remaja perempuan terutama golongan B40 masih belum mendapat akses kepada tuala wanita yang bersih.

Katanya, ini kerana masalah kurang berkemampuan membuatkan mereka merasakan amalan penjagaan kebersihan ketika datang haid adalah tidak terlalu penting.

"Kita tidak boleh terima ada wanita masih menggunakan alternatif tidak bersih seperti kain dan tisu sebagai tuala wanita setiap bulan.

"Jadi bantuan kepada mereka ini sangat penting terutama di Bandar Tun Razak kerana di sini ramai golongan miskin bandar dan amat memerlukan bantuan seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kempen Hygiene Aid di Sekolah Menengah Sains Selangor, di sini, hari ini.

Justeru, Dr Wan Azizah berharap lebih ramai pihak tampil menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha mengatasi masalah kemiskinan haid kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, sudah tiba masa untuk membantu mengubah persepsi wanita muda supaya mereka tahu cara terbaik untuk menjaga diri sendiri ketika tempoh itu.

"Usaha ini sekali gus dapat mengelak daripada golongan wanita merendah diri setiap kali datang haid kerana ada antara mereka yang tidak mendapat tuala wanita yang betul, sanggup ponteng sekolah setiap bulan kerana malu.

"Terima kasih kepada pihak yang terbabit dengan usaha ini dan diharap ramai lagi pihak tampil untuk membantu usaha ini di seluruh negara termasuk di kawasan Orang Asli," katanya.

Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd yang mewakili ATLAS Vending, Amy Gan, berkata pengenalan mesin itu adalah satu langkah penting dalam misi ATLAS Vending untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Katanya, dengan menangani masalah kemiskinan haid melalui inovasi, usaha itu juga bertujuan untuk membantu wanita menguruskan kesihatan haid mereka dengan lebih yakin.

"Kemiskinan haid di Malaysia secara jelas adalah isu akses terhad kepada produk kebersihan wanita yang selamat dan bersih, ditambah pula dengan kekurangan pendidikan tentang kebersihan haid dan kemudahan sanitasi asas.

"Ramai yang tidak menyedari kewujudan komuniti di mana wanita dan kanak-kanak perempuan bergelut untuk membeli produk kebersihan dan hanya mampu menggunakan kain buruk atau kertas, yang menyebabkan rasa malu hingga ada yang ponteng sekolah kerana masalah itu.

"Oleh itu, bagi menangani keperluan mendesak ini, ATLAS Vending memperkenalkan mesin layan diri yang mengeluarkan produk kebersihan percuma bagi memastikan akses kepada tuala wanita," katanya.

Beliau berkata, penyelesaian inovatif itu menggunakan sistem kad akses untuk mendapatkan tuala wanita percuma kepada semua pelajar sekolah dan mereka yang layak di HCTM.

Sementara itu, pelajar SMK Bandar Tun Razak, Nur Hanna Nabihah Mohd Hanif, 15, berkata dia amat bersyukur dengan bantuan tuala wanita yang diberikan itu setiap bulan itu.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, ini kerana dia antara golongan yang kurang mendapat akses kepada tuala wanita kerana kurang berkemampuan untuk membeli keperluan penting itu.

"Bapa saya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan ibu pula bekerja sebagai jurusolek sambilan, jadi mereka terpaksa mendahulukan keperluan yang lebih penting untuk sekeluarga.

"Bagaimanapun, dengan adanya kempen ini, saya bersyukur kerana akan mendapat akses kepada tuala wanita setiap bulan dan berharap program ini diteruskan kepada mereka yang memerlukan sahaja selepas ini," katanya.

Berita Harian X