Selasa, 7 Mei 2024 | 11:20am
Bayi lelaki yang ditemui di peti pelindung di Johor Bahru dan kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa pengabaian. - Foto ihsan JKM
Bayi lelaki yang ditemui di peti pelindung di Johor Bahru dan kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa pengabaian. - Foto ihsan JKM

Bayi ditemui bersama uri dalam peti perlindungan rumah kebajikan

JOHOR BAHRU: Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan, ditemui bersama uri di dalam peti perlindungan di sebuah rumah kebajikan, di sini, bulan lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Norhafizah Ahmad, berkata Pelindung Kanak-kanak menerima maklumat melalui panggilan telefon daripada penyelia Yayasan Orphancare Cawangan Johor Bahru pada 10 April lalu berhubung penemuan bayi itu.

Beliau berkata, bayi lelaki itu dilapor ditinggalkan di dalam peti perlindungan Yayasan Orphancare dalam keadaan berbalut kain berwarna putih dan dipercayai baru dilahirkan.

Katanya, tali pusat bayi itu dipercayai dipotong sendiri oleh seseorang individu, manakala uri turut diletakkan bersamanya di dalam peti perlindungan terbabit.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, tiada sebarang nota atau dokumen kelahiran kanak-kanak disertakan bersama bayi itu.

"Susulan itu, Penyelia Yayasan Orphancare Cawangan Johor Bahru telah membuat satu laporan di Balai Polis Taman Pelangi.

"Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk diberikan rawatan sewajarnya sebelum dibenarkan dibawa keluar pada 16 April lalu. Sepanjang tempoh bayi itu berada di hospital, tiada sebarang permohonan lawatan mahupun tuntutan dibuat oleh mana-mana pihak kepada polis dan JKM," katanya.

Seterusnya pada 2 Mei lalu, beliau berkata, suatu permohonan Perintah Interim Semasa Tempoh Penangguhan bawah Subseksyen 30(7) Akta Kanak-Kanak 2001 telah dibenarkan dan untuk sementara, bagi bayi itu ditempatkan di Yayasan Orphancare Cawangan Johor Bahru sementara Pelindung Kanak-kanak menyediakan dokumen untuk pendaftaran kelahiran kanak-kanak.

"Bayi berkenaan dinamakan sebagai Aisy Anaki dan dianggarkan berusia 28 hari. JKM berharap orang ramai yang ada maklumat berkaitan warisnya dapat menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Zaid Ikhwan Lim, melalui talian 07-2232606, 07-2232607 atau 0111-7535394," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, JKM Daerah Kota Tinggi sedang mengesan waris seorang kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Putera Izrael Abdullah berusia tujuh tahun sembilan bulan.

Pegawai JKM Daerah Kota Tinggi, Nora Zilah Sukiman, berkata kanak-kanak itu disyaki menjadi mangsa pengabaian keluarga.

"Pada 26 September 2017, pihak pelindung telah menerima aduan mengenai perkara itu melalui Talian Kasih. Hasil siasatan dan lawatan mendapati seorang bayi lelaki dianggarkan berusia setahun ketika itu telah ditinggalkan oleh keluarganya.

"Mangsa diselamatkan dan ditempatkan di institusi JKM hingga kini dengan perintah mahkamah oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor.

"Mengikut maklumat, ibu kanak-kanak itu dikenali sebagai Saharina Rasol dengan alamat terakhirnya di Kampung Lukut Cina, Kota Tinggi. Bagaimanapun hingga kini, wanita terbabit tidak dapat dihubungi dan waris kanak-kanak itu juga tidak pernah tampil menuntutnya.

"Kanak-kanak itu kini ditempatkan sementara di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Johor Bahru selama dua bulan mulai 5 Mei 2024 mengikut Seksyen 30 (7) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016). Orang ramai yang ada maklumat mengenai waris kanak-kanak itu boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Zunaizah Mohd Yusuf, melalui talian 07-8835536 atau 012-7868894," katanya.

Berita Harian X