Selasa, 7 Mei 2024 | 11:14am
Foto hiasan. - BERNAMA
Foto hiasan. - BERNAMA

Gua Musang panas melampau, masjid diminta anjur solat istisqa

GUA MUSANG: Musang: Masjid bandar dan negeri di Gua Musang diarah mengadakan solat sunat istisqa bermula Khamis ini susulan cuaca panas melampau yang melanda daerah ini.

Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud, berkata daerah ini antara yang mengalami cuaca panas melampau dengan suhu adakala mencecah antara 38 hingga 40 darjah Celsius.

Justeru, katanya, pihaknya sudah memaklumkan semua masjid bagi melaksanakan solat sunat istisqa bermula Khamis ini.

"Ini usaha kami bagi memohon pertolongan Allah SWT untuk menurunkan hujan, sekali gus menyejukkan sedikit suhu di daerah ini. Bermula Khamis ini, semua masjid diminta mengadakan solat sunat istisqa dan turut membacakan surah yasin.

"Cuaca panas melampau menimbulkan kerisauan kerana boleh menyebabkan strok haba, memberi kesan kepada petani dan penternak ikan air tawar," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud (dua dari kiri) pada majlis sambutan Aidilfitri dan Hari Bersama Pelanggan di pejabat Majlis Daerah Gua Musang. - NSTP/PAYA LINDA WAN
Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud (dua dari kiri) pada majlis sambutan Aidilfitri dan Hari Bersama Pelanggan di pejabat Majlis Daerah Gua Musang. - NSTP/PAYA LINDA WAN

Menurut beliau, pihaknya juga dalam usaha mengadakan pembenihan awan dan jika berjaya, ia akan menjadi pembenihan awan yang pertama di daerah ini.

"Ini masih dalam perbincangan di peringkat negeri kerana memerlukan kerjasama kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC)," katanya.

Beliau juga menasihatkan penduduk supaya mengehadkan aktiviti beriadah dan bersukan, manakala ibu bapa perlu memantau anak supaya tidak bermain di luar rumah ketika cuaca panas.

"Kepada penduduk yang menggunakan sumber air tandak, telaga dan sungai, saya minta pastikan sumber air yang adalah bersih dan selamat," katanya.

Terdahulu, media melaporkan fenomena El Nino atau cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini, dijangka berterusan sehingga Julai dan ada ramalan tahun ini adalah paling panas selepas 1998.

Berita Harian X