Selasa, 7 Mei 2024 | 7:37am
 Anggota Polis berbaris menunggu giliran untuk mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

PRK KKB: 863 polis, tentera dan pasangan undi awal hari ini

KUALA KUBU BHARU: Hari ini seramai 863 pengundi awal bakal menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu yang baharu.

Daripada jumlah itu, seramai 625 adalah anggota polis, 238 tentera dan pasangan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, proses pengundian awal ditetapkan berlangsung di dua pusat.

Ia membabitkan pusat mengundi awal di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal.

Calon PN Khairul Azhari Saut. - Foto BERNAMA
Calon PN Khairul Azhari Saut. - Foto BERNAMA

Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Kedua-dua pusat mengundi berkenaan dibuka mulai 8 pagi ini sebelum ditutup jam 5 petang.

Pada pagi ini juga, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dijadual turun padang bagi memantau sendiri perjalanan operasi di kedua-dua pusat mengundi terbabit.

Mengenai ramalan cuaca hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca baik di sebelah pagi, manakala ribut petir pada sebelah petang.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao; Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN); Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Dari kiri, calon PN, Khairul Azhari Saut; Pang Sock Tao (PH), Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia). - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Dari kiri, calon PN, Khairul Azhari Saut; Pang Sock Tao (PH), Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia). - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu kerana kanser.

Kee Hiong berkhidmat sebagai wakil rakyat di kerusi berkenaan sejak 2013.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos tahun lalu, mendiang menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

 Anggota Polis berbaris menunggu giliran untuk mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Anggota Polis berbaris menunggu giliran untuk mengundi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu. - Foto NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

DUN Kuala Kubu Bharu memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada Sabtu ini.

Berita Harian X