Isnin, 6 Mei 2024 | 3:37pm
Zarina menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
Zarina menunjukkan produk keluaran syarikatnya.

AIM bantu Zarina penuhi impian

KUALA PILAH: Penurunan nilai jualan produk makanan secara mendadak lebih 50 peratus sejak September tahun lalu ekoran situasi ekonomi yang mencabar tidak mematahkan semangat Zarina Zainal Abidin, 45, menguruskan perniagaannya.

Sahabat Usahawan bimbingan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu terus cekal meskipun menghadapi cabaran getir termasuk saingan daripada pengusaha lain.

Dia kini mengeluar dan memasarkan produk dimsum dan popia simpul ayam, daging, tuna yang berasaskan makanan laut.

Zarina akui, tanpa sokongan dan bantuan pembiayaan AIM, sukar baginya bertahan sehingga kini.

"Saya berhadapan dengan situasi mencabar beberapa kali apabila nilai jualan menurun secara mendadak. Bagaimanapun, AIM tampil membantu menerusi suntikan pembiayaan sebanyak RM20,000 pada Februari lalu.

"Bantuan itu menyuntik semula modal pusingan perniagaan dan membolehkan saya terus membuat pengeluaran serta meningkatkan lagi aktiviti pemasaran," katanya ketika ditemui di bengkelnya, di Pusat Memproses Makanan Ampang Tinggi, Kampung Kayu Ara, di sini.

Menurut ibu tunggal ini, dia mula terbabit dengan perniagaan itu pada 2012 secara kecil-kecilan dengan mengeluarkan produk popia simpul di rumah.

"Berikutan masalah modal pusingan yang terhad, pada 2016 rakan menyaran saya menjadi ahli Sahabat Usahawan AIM cawangan Ampang," katanya.

RM5,000 pinjaman permulaan

Menurut Zarina, pada mulanya beliau mendapat pinjaman AIM sebanyak RM5,000 untuk mengembangkan perniagaan dan pada masa sama, perlu menghadiri aktiviti bimbingan serta khidmat nasihat yang dikendalikan pegawai agensi itu.

Ibu kepada empat anak perempuan berusia antara 13 hingga 25 tahun itu berkata, AIM juga memberikan bimbingan keusahawanan dan pengurusan dalam perniagaan termasuk pemasaran.

Ia sekali gus meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan perniagaan, selain dapat mempelajari kaedah pengurusan yang cekap dan berkualiti.

"Sehingga kini, AIM sudah membantu saya RM170,000 dengan pinjaman terkini, RM20,000 pada Februari lalu.

"Setiap minggu saya kena bayar RM687 dan setakat ini saya masih mampu lagi membayarnya. Apabila kita membuat hutang dengan AIM, semangat untuk berusaha itu lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata, kaedah pinjaman mudah AIM dapat membantu usahawan kecil sepertinya mengembangkan lagi perniagaan. Ini berikutan, usahawan kecil sukar untuk mendapatkan pembiayaan atau pinjaman dana dari institusi kewangan lain kerana syarat dikenakan ketat dan sukar dipenuhi usahawan terbabit.

"AIM mempunyai kaedah tersendiri iaitu membayar setiap minggu pada kadar yang tidak membebankan sekali gus memudahkan usahawan membuat bayaran balik mengikut kadar ditetapkan.

"Kaedah ini juga dapat mengelakkan usahawan menanggung hutang dalam tempoh lebih panjang atau sepanjang hayat," katanya.

Berita Harian X