Isnin, 6 Mei 2024 | 2:44pm
Fatmawati menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
Fatmawati menunjukkan produk keluaran syarikatnya.

Bantuan modal AIM ubah hidup keluarga Fatmawati

Bera: Bermula dengan menjual burger secara kecil-kecilan di hadapan rumah dan pekan sehari sekitar daerah ini, Fatmawati Hussin, 45, kini berupaya mengeluarkan produk sendiri dan menjadi usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) berjaya.

Dengan bantuan modal perniagaan dan bimbingan keusahawanan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Fatmawati berjaya memperkenalkan Sambal Belimbing Buluh jenama Oshmi dan memasarkannya di seluruh negara.

Fatmawati berkata, dia mula memproses dan mengeluarkan Sambal Pahang Belimbing Buluh pada 2014 selepas menubuhkan syarikat Oshmifood Sdn Bhd (Oshmi).

Menerusi rakan, dia mengenali dan menjadi ahli AIM Cawangan Bera, di sini.

"Saya menerima bantuan pembiayaan modal perniagaan permulaan sebanyak RM3,000 daripada AIM dan ia digunakan untuk mengembangkan perusahaan Sambal Pahang Belimbing Buluh.

"Alhamdulillah, berbekalkan modal daripada AIM itu, saya bekerja keras memajukan perniagaan," katanya ketika ditemui di Bengkel IKS Oshmi di FELDA Bukit Puchong Triang, dekat sini, baru-baru ini.

Usahawan berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini yang dibantu suami, Mohd Bazli Samsudin, 44, berkata AIM banyak membantunya mengembangkan perniagaan, bukan sahaja aspek bantuan modal tetapi juga bimbingan keusahawanan.

Katanya, bantuan modal selanjutnya diterima daripada AIM sebanyak RM5,000 dan terkini, RM18,000 yang diperolehnya akhir tahun lalu.

"Saya ditawarkan untuk mendapatkan pembiayaan selanjutnya secara berfasa dan ia perlu mengambil kira dari segi keupayaan membayar balik, walaupun saya mempunyai rekod bayar balik yang baik.

"Selalunya saya buat pinjaman berkembar dengan AIM dan selepas ini mungkin boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM20,000 dan RM25,000, namun saya perlu melihat dari segi keperluan terlebih dulu.

"Kelebihan menjadi sahabat AIM adalah bantuan modal mudah diperoleh, berbanding pihak lain termasuk institusi kewangan yang mengenakan pelbagai syarat ketat," katanya.

Pastikan kualiti tahap terbaik

Ibu kepada lima anak berusia antara lima hingga 20 tahun itu berkata, untuk berjaya dalam industri makanan bukan mudah kerana banyak cabaran dan perlu bersaing dengan usahawan lain.

"Saingan dalam industri ini hebat, saya perlu pastikan kualiti produk pada tahap terbaik untuk kekalkan di pasaran.

"Melalui bantuan AIM dan beberapa agensi lain seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), sambal yang saya keluarkan ini mendapat permintaan tinggi di seluruh negara.

"Ketika ini saya membekalkan kepada 300 rangkaian di stesen minyak PETRONAS, selain 26 rangkaian pasar raya AEON terpilih di seluruh Semenanjung.

"Saya juga mempunyai beberapa ejen jualan di Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak serta Selangor," katanya yang memaklumkan resipi Sambal Pahang Belimbing Buluh berkenaan adalah warisan turun temurun dari ahli keluarganya.

Fatmawati berkata, ketika ini kilang yang disewa daripada Lembaga Pertubuhan Peladang Bera mampu mengeluarkan 36,000 peket sambal sebulan atau 1,200 sehari.

Katanya, produk dihasilkannya itu bukan sahaja mendapat tempahan daripada semua peringkat masyarakat, tetapi juga turut dijadikan sebagai cenderahati untuk golongan kenamaan.

Fatmawati yang dibantu empat pekerja menzahirkan terima kasih kepada AIM kerana membantu usahawan kecil sepertinya untuk terus maju dan berjaya dalam bidang perniagaan.

Berita Harian X