Isnin, 6 Mei 2024 | 11:01am
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Dua kesalahan utama bank punca jenayah wang haram berleluasa

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengesan sekurang-kurangnya dua kesalahan utama yang sering dilakukan institusi kewangan negara sehingga menyebabkan kegiatan jenayah wang haram dan pembiayaan keganasan semakin terdedah dan berleluasa di negara ini.

Kesalahan itu adalah berkaitan kegagalan institusi kewangan menjalankan penilaian wajar terhadap pelanggan (customer due diligence - CDD) dan kegagalan menjalankan saringan sekatan (sanctions screening) pada saat penerimaan pelanggan.

Kedua-dua langkah ini harus dilakukan institusi kewangan yang dinamakan BNM sebagai institusi pelapor supaya penilaian risiko berkaitan aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AML/CFT) tidak berlaku atau mungkin ditimbulkan oleh pelanggan kepada perniagaan atau organisasi.

"Tindakan itu penting untuk memastikan agensi penguat kuasa undang-undang dapat segera menjalankan penyiasatan, terutama ke atas orang berkepentingan atau sesiapa sahaja yang berkaitan dengan mereka," kata BNM kepada BH, baru-baru ini.

Kenyataan bank pusat itu adalah bagi menjelaskan beberapa laporan akhbar ini yang mendedahkan mengenai taktik serta modus operandi penjenayah rentas sempadan dan penipuan dalam talian.

Keratan akhbar BH pada 22 Oktober tahun lalu.
Keratan akhbar BH pada 22 Oktober tahun lalu.

Antaranya pada Oktober lalu, BH mendedahkan penjenayah kewangan dikesan menggunakan beberapa taktik antaranya pemberian derma kepada badan amal, menyembunyi kekayaan atas nama proksi dan pembiayaan politik untuk mengaburi pihak berkuasa.

Jenayah itu dikesan membabitkan jumlah kewangan yang amat besar dan digunakan untuk menjana kekayaan serta pendapatan yang lebih tinggi.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki, mendedahkan modus operandi jenayah itu menjadi semakin hebat, selari perkembangan semasa dunia.

Katanya, dalang beroperasi secara sindiket dengan menjana keuntungan hasil daripada pengubahan wang haram, iaitu melalui syarikat berdaftar atas nama proksi untuk menyembunyikan kekayaan mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk, Seri Ramli Mohamed Yoosuf juga berkata, Bukit Aman mengesan banyak sindiket jenayah 'mencuci' wang haram menggunakan sistem layering atau lapisan transaksi dengan mendaftar syarikat mengikut prosedur ditetapkan, namun sebenarnya tiada langsung aktiviti perniagaan.

Beliau berkata, sindiket biasanya menubuhkan syarikat yang kononnya bagi menjalankan perniagaan sah, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Tiga modus operandi utama 

Awal tahun ini, akhbar ini mendedahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan tiga modus operandi utama digunakan peniaga bagi melakukan aktiviti jenayah pengubahan wang haram.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata selain memasukkan hasil haram ke dalam akaun perniagaan atau individu yang dicampur aduk dengan hasil perniagaan sah, mereka dikesan memasukkan wang haram ke dalam akaun perniagaan atau individu lain, mewujudkan shell company, membeli aset atau membuat pelaburan, membayar pinjaman, insuran dan lain-lain secara berstruktur.

Menurut BNM, CDD ialah proses untuk mengenal pasti dan mengesahkan identiti pelanggan di institusi pelapor dan mereka haruslah berpuas hati bahawa pelanggan adalah seperti yang mereka katakan.

Ia termasuk identiti pelanggan, identiti pemilik benefisial atau orang di sebalik transaksi; identiti orang yang menjalankan transaksi sekiranya transaksi itu dilakukan bagi pihak orang lain atau wakil yang dilantik oleh orang yang sah; serta tujuan urus niaga itu dilakukan.

Sanctions screening pula terpakai kepada setiap warganegara Malaysia dan setiap badan korporat di Malaysia.

"Ia juga hendaklah dilakukan ke atas mana-mana individu yang menjalankan urus niaga 'kewajipan berkanun' seperti caruman kepada badan berkanun seperti Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil dalam Negara (LHDN)," katanya.

BNM juga menekankan pentingnya institusi pelapor mewujudkan prosedur saringan kakitangan (employee screening procedures), latihan dan kesedaran yang mesti dipatuhi di bawah program pematuhan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT).

"BNM sebagai pihak berkuasa berwibawa (competent authority) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) berperanan untuk mencegah pembabitan institusi pelapor dalam memudah cara kegiatan jenayah melalui penguatkuasaan, penyeliaan dan pemantauan secara berkala bagi memastikan garis panduan AML/CFT.

"Sebarang pelanggaran undang-undang oleh institusi pelapor atau mana-mana entiti akan dikenakan tindakan yang wajar, adil dan saksama, termasuk langkah pembetulan bagi memperbaiki kawalan pematuhan atau tindakan punitif yang bertujuan memberikan pengajaran," katanya.

Sejak pelaksanaan rangka kerja penguatkuasaan dan penalti pada 2014, bank pusat itu sudah mengambil 74 tindakan, termasuk tindakan punitif dan langkah pembetulan bagi kesalahan pematuhan obligasi atau sebagai langkah pencegahan di bawah AMLA.

Bagi tempoh Januari 2021 hingga Oktober 2023, sebanyak 15 institusi kewangan dan entiti berkaitan dikenakan denda lebih RM7 juta bagi kesalahan berkenaan.

Pada 2021, sebanyak dua pengendali perniagaan perkhidmatan kewangan dikenakan penalti pentadbiran berjumlah RM147,000.

Pada 2022, empat syarikat insurans dan pengendali takaful dikenalkan penalti pentadbiran lebih RM1 juta manakala tujuh entiti yang tidak dikawal selia oleh BNM dikenakan kompaun RM5.2 juta.

Pada tahun lalu pula, dua pengeluar wang elektronik (e-Money Issuers) dikenakaan penalti pentadbiran RM600,000.

Berita Harian X