Isnin, 6 Mei 2024 | 10:19am
Daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah haji pada tahun ini, 36 peratus jemaah adalah berusia 60 tahun ke atas, manakala bakinya 60 tahun ke bawah.
Daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah haji pada tahun ini, 36 peratus jemaah adalah berusia 60 tahun ke atas, manakala bakinya 60 tahun ke bawah.

TH pastikan 31,600 jemaah haji berpeluang ziarah Raudah

MADINAH: Tabung Haji (TH) memberi jaminan semua 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim 1445H/2024 akan mendapat peluang melakukan ziarah Raudah, satu daripada pengisian ketika mereka berada di sini selama enam hari lima malam.

Naib Konsul Haji Malaysia merangkap Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin, berkata permohonan untuk aktiviti itu akan dilakukan oleh pihak TH sendiri menerusi aplikasi Nusuk mengikut kumpulan KT atau kumpulan penerbangan dan disusun mengikut tarikh ketibaan.

"Insya-Allah, Tabung Haji akan membuat permohonan secara rasmi menerusi aplikasi nusuk untuk semua 31,600 jemaah haji melakukan ziarah Raudah. Bagaimanapun kelulusan bergantung kepada pihak pengurusan Masjid Nabawi.

"Jadual ziarah akan diberikan oleh pihak zon iaitu tempat jemaah haji menginap bagi membuat aturan pergerakan kerana kita mengetahui bahawa pergerakan jemaah haji untuk memasuki raudah ini adalah dikawal dan disusun oleh pihak pengurusan Masjid Nabawi," katanya dalam sidang media di Pejabat Operasi TH, di sini, hari ini.

Ashrof berkata, terdapat perbezaan pergerakan antara jemaah haji wanita dan jemaah haji lelaki selain perbezaan masa untuk melakukan ziarah.

Kumpulan jemaah haji katanya akan dipimpin oleh Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci TH yang akan membawa jemaah haji ke kawasan Raudah dan permit kemasukan itu akan diberikan kepada penjaga pintu masuk Raudah untuk membolehkan mereka beribadah dalam tempoh masa tertentu.

Sementara itu, untuk jemaah haji yang berusia, TH akan mengenal pasti keupayaan kesihatan mereka dan waris sebelum menawarkan bantuan pergerakan untuk mengunjungi Raudah.

"Jika tidak ada waris, petugas akan membantu pergerakan jemaah yang berusia ini dari tempat penginapan ke masjid Nabawi atau sekiranya tidak boleh berjalan tetapi sihat untuk bergerak ke Masjid Nabawi, TH juga ada menyediakan bantuan kerusi roda untuk membawa jemaah ini ke Raudah," katanya.

Mengikut rekod TH, daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah haji pada tahun ini, 36 peratus jemaah adalah berusia 60 tahun ke atas, manakala bakinya 60 tahun ke bawah.

Aktiviti ziarah Raudah merupakan sebahagian daripada pengisian program Ziarah Dalam yang diatur oleh pihak TH untuk kesemua jemaah haji sepanjang jemaah berada enam hari lima malam di Madinah selain Ziarah Luar.

Sementara itu, mengulas kepentingan aktiviti melakukan aktiviti ziarah sepanjang berada di Madinah, Ashrof berkata menerusi aktiviti itu, TH mengharapkan jemaah mendapat pelbagai kebaikan dan iktibar daripada kisah sejarah di tempat yang dilawati.

Antara tempat Ziarah Luar yang diatur untuk para jemaah haji termasuk masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW itu Masjid Quba dan Masjid Qiblatain iaitu masjid yang mempunyai dua arah kiblat.

Masjid berkenaan yang mulanya dikenali Masjid Bani Salamah, mempunyai arah kiblat menghadap Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis sebelum turun wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi Muhamad SAW untuk menukar arah kiblat ke Masjidil Haram semasa Baginda sedang solat Zohor di masjid itu.

Selain itu, para jemaah haji juga akan dibawa ziarah secara kumpulan dengan menaiki bas ke Masjid Tujuh, Bukit Uhud serta ke ladang kurma. – BERNAMA

Berita Harian X