Isnin, 6 Mei 2024 | 12:01am
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang juga Presiden Selangor FC, mengecam keganasan terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim. - Foto Facebook Selangor Royal Office
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang juga Presiden Selangor FC, mengecam keganasan terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim. - Foto Facebook Selangor Royal Office

Siasat serangan terhadap Faisal Halim hingga ke akar umbi - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah agar polis segera menyiasat insiden berunsur keganasan membabitkan pemain pasukan Selangor FC, Faisal Halim, yang disimbah asid di sebuah pusat beli-belah hari ini.

Sultan Sharafuddin selaku Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, sebagai Presiden Selangor FC, mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral itu dan mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian hingga akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap segera.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda juga bertitah mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis.

"Baginda memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.

"Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan," menurut kenyataan itu.

Baginda turut menzahirkan kekhuatiran jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.

Baginda turut mendoakan agar Faisal Halim kembali sihat seperti sedia kala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC.

Arena bola sepak tempatan hari ini dikejutkan dengan insiden pemain kebangsaan cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara petang tadi.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, kemudiannya mengesahkan insiden yang menyebabkan Faisal mengalami kelecuran tahap dua dengan kecederaan di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada. – BERNAMA

Berita Harian X