Ahad, 5 Mei 2024 | 7:55pm
Terdahulu, BH Online melaporkan kejadian menimpa Faisal.
Terdahulu, BH Online melaporkan kejadian menimpa Faisal.

Faisal stabil, terima rawatan di hospital swasta - Polis

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, cedera disimbah cecair dipercayai asid, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kejadian berlaku ketika pemain itu berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil dengan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

"Pada jam 5.52 petang tadi, polis Petaling Jaya menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan kecemasan 999 bahawa seorang pemain bola sepak kebangsaan telah disimbah cecair dipercayai asid.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Setakat ini, BH difahamkan bahawa Faisal belum membuat laporan polis rasmi berhubung kes itu.

Terdahulu, media melaporkan menerusi maklumat dan gambar tular dalam laman media sosial, pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di ibu negara hari ini.

Perkembangan mengenai insiden itu turut disahkan Selangor FC (SFC) dalam satu kenyataan.

Kejadian itu berlaku selepas tidak sampai seminggu insiden seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid, disamun di Terengganu.

Berita Harian X