Ahad, 5 Mei 2024 | 5:58pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Tapak Perkhemahan Rimbayu, Kampung Buluh Telur. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Tapak Perkhemahan Rimbayu, Kampung Buluh Telur. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

KBS pertingkat libat urus dengan JAKAO

HULU SELANGOR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meningkatkan libat urus dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi membolehkan kecenderungan minat sukan komuniti itu diperkasakan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata usaha itu juga bagi memastikan belia Orang Asli tidak tidak terpinggir dengan kemajuan sukan.

"Masyarakat Orang Asli sudah ada aktiviti sukan, tetapi maklumat mengenai gaya hidup sihat itu mungkin tidak sampai.

"Jadi kita mahu lebih banyak libat urus dan rata-rata mempunyai minat dalam bidang sukan.

"Misalnya ketika dipertemukan dengan jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah mereka berminat untuk tahu pemakanan, gaya hidup serta mempunyai minat terhadap sukan bina badan," katanya.

Terdahulu, Yeoh mengadakan dialog bersama belia daripada masyarakat Orang Asli ketika hadir di Tapak Perkhemahan Beting Rimbayu di sini, hari ini.

Mereka adalah kanak-kanak dan belia dari Kampung Orang Asli Buluh Telur yang terletak di Ampang Pecah.

Yeoh menjelaskan, kementerian juga akan meningkatkan dialog, sesi pertemuan dengan masyarakat Orang Asli bagi mengetahui minat serta kemudahan diperlukan komuniti itu.

"Kita mahu mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sukan diminati mereka, hasil makluman, mereka minat badminton tetapi menghadapi kekangan peralatan, minat memancing, kanak-kanak minat bermain bola sepak, jadi kita akan tengok bagaimana kita boleh memperkasakan komuniti ini

"Sebenarnya mereka mempunyai banyak bakat kerana memang mempunyai gaya hidup sihat dan ini kali kedua saya melawat komuniti Orang Asli.

"Tambahan pula KBS memang ada sesi libat urus dengan JAKOA, ini sekali gus membantu meningkatkan 'accesibity' kerana kita mahu memastikan mereka tidak ketinggalan dalam sukan dan kita mesti memastikan mereka mempunyai fasiliti (sukan).

"Difahamkan, mereka bermain badminton tanpa jaring, jadi kita kena memahami gaya hidup dan keperluan mereka jika mahu memperkasakan kemudahan sukan," katanya.

Katanya, KBS ada memperkenalkan sukan baharu tetapi tidak semua sukan itu diminati.

"Kita ada memperkenalkan sukan baharu, tetapi mereka tidak minat. Dulu kita tahu klinik bola sepak memang popular dengan mereka dan wanita minat badminton, jadi penting kita tahu fasiliti sukan yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, pekerja syarikat pembersihan, Farud Abas, 32, memaklumkan kampungnya di Kampung Orang Asli Buluh Telur memang pernah diperuntukkan padang bola sepak tetapi kemudahan sudah rosak dan uzur.

"Kampung kami juga memerlukan kemudahan badminton dan sepak takraw. Ini kerana padang bola tidak pernah dibaik pulih dan dibiarkan rosak.

"Selain itu, kami mahu pihak berwajib membesarkan jalan masuk serta menurap jalan demi keselesaan penduduk.

"Kami juga mahu bantuan pembaikan untuk rumah bocor dan lain-lain. Perkara ini yang kami mahukan daripada wakil rakyat baharu," katanya.

Perkara itu dipersetujui pembantu kedai, 22, Maliza Karim, yang mahu kemudahan sukan dibaik pulih kerana sudah usang dan berbahaya kepada penduduk.

"Memang kemudahan ini ada tetapi sudah rosak dan perlu penggantian baharu.

"Ramai kalangan kami memang minat sukan, tetapi tidak dapat melakukan aktiviti itu kerana tiada kemudahan," katanya.

Beliau juga mahu masyarakat Orang Asli diberi perhatian dalam bidang pendidikan serta peluang pekerjaan kerana sekurang-kurangnya terdapat beberapa orang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia hingga lulusan universiti.

"Harapan kami agar keperluan kami tidak dipinggirkan dan berharap dapat memilih wakil rakyat yang membantu masyarakat," katanya.

Berita Harian X