Ahad, 5 Mei 2024 | 4:36pm
Zambry (kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI di dekat Seri Manjung, hari ini. - Foto BH/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Zambry (kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI di dekat Seri Manjung, hari ini. - Foto BH/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI

Enam kementerian selaras pengeluaran sumber manusia mahir

LUMUT: Enam kementerian akan menyelaras peranan masing-masing bagi membangunkan sumber manusia mahir dalam bidang sains dan teknologi, selari dengan keperluan pembangunan negara dan kehendak pelabur asing.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata penyelarasan peranan itu tercetus dengan pembangunan bidang kecerdasan buatan (AI) oleh universiti tempatan bagi melahirkan graduan yang menepati ciri-ciri yang diperlukan oleh syarikat antarabangsa.

Katanya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sudah menubuhkan Fakulti Kejuruteraan AI untuk mengeluarkan graduan terbaik dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan fakulti berkenaan Jumaat ini dalam acara di Kuala Lumpur.

"Kementerian Pendidikan Tinggi akan menggerakkan (agenda AI negara) di peringkat awal ini, kemudian disambung oleh Kementerian Digital; Kementerian Komunikasi; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), serta Kementerian Ekonomi.

"Semua kementerian ini akan terlibat secara aktif untuk menjayakan agenda AI negara," katanya.

Zambry berkata, Fakulti Kejuruteraan AI UTM akan menjadi 'showcase' atau wadah bagi menunjukkan kesiapsiagaan Malaysia dalam persaingan teknologi setanding negara maju lain.

Katanya, penubuhan fakulti baharu itu disifatkan amat penting kerana teknologi AI dijangka memberi pengaruh besar terhadap kepesatan perubahan pelbagai aspek penting dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kita tidak mahu ketinggalan dalam bidang teknologi AI ini kerana jangkaan perubahan ekonomi, perubahan sosial dalam bidang pendidikan dan sebagainya dalam tempoh masa sekarang hinggalah ke lima tahun akan datang berlaku satu perubahan yang sangat pesat dan semua itu akan ditandai oleh AI," katanya.

Beliau berkata selepas Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI di Seri Manjung, di sini, hari ini.

Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan seramai 1,000 penuntut mendaftar sebagai kumpulan pertama pengambilan program kejuruteraan AI.

Berita Harian X