Ahad, 5 Mei 2024 | 2:25pm
Ahmad Zahid ketika sidang media selepas merasmikan Kompleks Rumah GAPENA hari ini.- Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika sidang media selepas merasmikan Kompleks Rumah GAPENA hari ini.- Foto Bernama

TPM jamin bawa isu tanah RUMAH GAPENA kepada PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan permohonan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) untuk mendapatkan hak milik kekal tanah Rumah GAPENA yang menjadi pusat kegiatan penulis tanah air, akan dibawa kepada Perdana Menteri.

Beliau turut memberikan komitmen untuk terus bersama kepemimpinan GAPENA dalam usaha merealisasikan harapan karyawan tanah air sejak badan penulisan itu ditubuhkan lima dekad lalu.

"Tanah ini adalah milik kerajaan Persekutuan. Dulu ia adalah kuarters kerajaan yang disewakan kepada GAPENA. Jadi GAPENA memohon agar hak milik kekal diberikan. Insya-Allah saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Komitmen saya tak pernah berubah dan goyah. Kalau kepimpinan GAPENA mahu kompleks dan tanah ini jadi hak milik kekal GAPENA, insya-Allah saya bersama-sama memperjuangkan.

"Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang telah terbina sejak 54 tahun lalu, saya fikir Perdana Menteri akan bersetuju dengan saranan yang akan dibawa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kompleks Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan MajllisAidilfitri Penulis Bersama Timbalan Perdana Menteri di Rumah GAPENA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan.

Sebelum ini, sejak 1993, kerajaan meminjamkan bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada GAPENA di Jalan Dewan Bahasa, dan kemudian pada 2012, rumah berkenaan diberi kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

GAPENA dipinjamkan rumah JKR di Jalan Belfield, Bukit Petaling sehingga hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya mengharapkan penulis tanah air lebih agresif dengan tidak hanya berkarya melalui medium konvensional tetapi turut menerokai ruang baharu menerusi platform alam maya.

"Selama ini media konvensional menjadi pentas perjuangan kita (sebagai penulis) dalam memperjuangkan bahasa, sastera, seni dan budaya. Namun, kita tidak boleh tolak gelombang yang membadai (ketika ini) apabila alam maya

lebih menguasai berbanding media konvensional.

"Ia realiti yang tidak dapat kita tolak. Jadi, perubahan yang sedang berlakudalam bidang sastera dan budaya ini juga perlu kita lihat dan harus mencari medium baharu (untuk berkarya).

"Justeru, saya menyeru supaya penulis mempergunakan ruang baharu, antaranya cipta portal dan halaman tertentu khusus untu melakukan kesinambungan kepada semua aktiviti persuratan," katanya.

Tambahnya, melalui langkah sedemikian, penulis dan sasterawan tempatan akan terus kekal berdaya saing dan relevan dalam bidang persuratan.

"GAPENA dan 20 badan gabungannya harus merelevankan diri mereka, bukan saja dalam platform (semasa) atau medium komunikasi, tetapi mesti menggunakan medium baharu. Kita (penulis) akan jadi generasi pupus, tetapi karya kita janganlah pupus kerana semua ini adalah cerminan sejarah.

"Oleh itu, perlu ada langkah proaktif untuk memastikan karya khususnya Sasterawan Negara (SN) terus mekar, sementara karya penulis baharu terus digalakkan," katanya.

Berita Harian X