Ahad, 5 Mei 2024 | 10:11am
Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Johor ketika hadir pada Majlis Mesra Ria Aidilfitri sempena Mesyuarat Agung Tahunan MUBARAK Negeri Johor kali ke-23 di Pejabat Perhubungan UMNO negeri, semalam. - Foto BERNAMA
Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Johor ketika hadir pada Majlis Mesra Ria Aidilfitri sempena Mesyuarat Agung Tahunan MUBARAK Negeri Johor kali ke-23 di Pejabat Perhubungan UMNO negeri, semalam. - Foto BERNAMA

'Pengundi tegar UMNO tidak bertambah'

JOHOR BAHRU: UMNO mengakui jumlah pengundi tegar parti itu tidak bertambah walaupun berlaku pertambahan pengundi baharu hampir setiap enam bulan.

Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengundi baharu adalah golongan yang tidak menjadi ahli mana-mana parti namun mempunyai pengaruh besar dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau berkata UMNO perlu memastikan pendekatan sesuai digunakan supaya kehadiran parti itu dirasai golongan terbabit.

"Bukan macam dahulu, pengundi tegar kita makin mengecil, demografi tunjukkan 60 peratus adalah pengundi muda dalam setiap kawasan.

"Contohnya di Pasir Gudang, ahli UMNO ada 20,000 tetapi pengundi ada 200,000 dan akan datang jumlah ini akan naik 250,000, tetapi ahli UMNO masih 20,000, jumlah itu jadi semakin mengecil.

"Sekarang ramai yang tidak berparti tetapi mereka sokong perkara yang boleh mendatangkan manfaat.

"Parti (UMNO) kena pastikan keterlihatan dan kehadiran dirasai, sebab itu mereka kena fikir pendekatan yang sesuai untuk mereka, menarik dengan pengisian dan pendirian parti mesti jadi tarikan pada pengundi ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditemui selepas sambutan Hari Raya Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Johor dan Veteran UMNO Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohammed Khaled yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Kota Tinggi merumuskan tiada parti dalam negara ini yang mampu bergerak secara sendirian selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya Barisan Nasional sejak dulu sudah mewujudkan pelbagai parti gabungan.

"Begitu juga PKR, DAP, tubuh Pakatan Harapan (PH) mereka tidak boleh bergerak sendiri.

"Hendak bertanding dalam PRU sendiri boleh tapi tidak boleh tubuhkan kerajaan sendirian, sebab demografi negara dari segi komposisi rakyat dapati banyak kepelbagaian, tiada majoriti mutlak bagi mana-mana kaum dalam pilihan raya.

"Dalam konteks politik hari ini tidak mungkin ada parti boleh bergerak secara solo. Asas itu kena fikir dengan siapa kita kena kerjasama dan pastikan UMNO, BN terus wujud pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X