Sabtu, 4 Mei 2024 | 8:36pm
Fahmi menyampaikan watikah Komuniti MADANI pada Program Jiwa MADANI, hari ini. - FOTO BERNAMA
Fahmi menyampaikan watikah Komuniti MADANI pada Program Jiwa MADANI, hari ini. - FOTO BERNAMA

Setiap Komuniti MADANI bakal terima geran tahunan RM10,000

GEORGETOWN: Setiap Komuniti MADANI di seluruh negara akan menerima geran tahunan sebanyak RM10,000 mencakupi RM3,000 bagi pentadbiran dan RM7,000 untuk aktiviti dan program, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Buat masa ini, beliau berkata, kerajaan menyalurkan geran pentadbiran RM3,000 terlebih dahulu kepada setiap Komuniti MADANI untuk kegunaan menggerakkan komuniti dari segi pentadbiran dan penyeliaan.

"Nanti melalui Pegawai-pegawai Penerangan Daerah, kita akan mengaktifkan Komuniti MADANI sekali dengan peruntukan RM7,000 bagi melaksanakan program di akar umbi. Jika melakukan kerja dengan baik, insya-Allah kita boleh mohon dengan MoF (Kementerian Kewangan) untuk kenaikan pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan watikah penubuhan rasmi Komuniti MADANI kepada ketua dan wakil komuniti di seluruh Pulau Pinang pada Program Jiwa MADANI yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor, di sini, hari ini.

Fahmi memaklumkan terdapat 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara, termasuk 120 yang telah ditubuhkan di Pulau Pinang membabitkan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, Komuniti MADANI berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat, sekali gus menjadi jentera komunikasi dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat, selain mendapatkan maklum balas rakyat pada peringkat akar umbi.

Justeru, beliau berharap Komuniti MADANI dapat menangani isu fitnah serta berita palsu secara lebih terancang, dan sebagai usaha kerajaan untuk memastikan media bebas membuat pelaporan tanpa sebarang kekangan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, berdasarkan hasil perbincangan pihak kementerian dengan pasukan D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan wanita, aplikasi WhatsApp didapati merupakan antara platform paling banyak disalahgunakan oleh golongan pedofilia.

"Ini adalah satu penemuan sangat mengejutkan. Dalam perbincangan kementerian dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Meta, kita berharap untuk memberi satu penegasan bahawa kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak boleh memiliki akaun WhatsApp, Facebook, Instagram dan TikTok.

"Sekiranya perlu, MCMC bersedia untuk mengambil tindakan tegas. Ketika ini, kita mendapat sedikit kerjasama tetapi tidak memadai kerana kebanyakan platform hanya meletak terma dan syarat, namun tidak melakukan apa-apa secara proaktif untuk melarang kanak-kanak daripada mendaftar," katanya.

Fahmi berkata, ia adalah suatu perkara yang membimbangkan, dan tindakan tegas diambil demi keselamatan kanak-kanak serta keluarga di negara ini.

Pada 21 April lalu, beliau dilapor mengingatkan golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka yang berusia bawah 13 tahun, tidak memiliki sebarang akaun media sosial kerana MCMC mendapati mereka tidak sesuai menggunakan mana-mana media sosial. – BERNAMA

Berita Harian X