Jumaat, 3 Mei 2024 | 5:44pm
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat. Gambar fail
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat. Gambar fail

'Jangan politikkan isu kenaikan gaji penjawat awam'

KUALA LUMPUR: CUEPACS menggesa semua pihak tidak mempolitikkan isu kebajikan penjawat awam khususnya hasrat kerajaan untuk menaikkan gaji yang secara langsung akan memberikan kebaikan kepada perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata semua pihak diminta mengelak dari mewujudkan polemik dan kegusaran terhadap usaha baik dilakukan kerajaan.

"Ahli politik perlu bersikap lebih matang dan bijak serta bertanggungjawab dalam memainkan isu yang hendak mereka ketengahkan.

"Keyakinan CUEPACS tetap tinggi supaya usaha kerajaan untuk menambah baik sistem gaji penjawat awam akan berjalan dengan baik dan lancar demi kesejahteraan penjawat awam serta negara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, berita gembira berkaitan kenaikan gaji penjawat awam diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sambutan Hari Pekerja Rabu lalu, tidak wajar dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang sedang berlangsung ketika ini.

"Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei sudah wujud begitu lama dan disambut saban tahun. Sambutan itu ruang kerajaan mengumumkan sebarang usaha untuk meningkatkan kebajikan golongan pekerja termasuk penjawat awam dan pekerja di sektor swasta," katanya.

Ketika ini, kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu sedang berlangsung sehingga 10 Mei depan, dengan hari mengundi pada 11 Mei.

Perdana Menteri pada Rabu lalu mengumumkan penstrukturan semula gaji penjawat awam melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilakukan ketika ini akan dilaksanakan pada 1 Disember 2024.

Hasil akhir daripada Kajian SSPA itu akan dibentangkan untuk kelulusan Parlimen menerusi Belanjawan 2025 pada Oktober depan.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihaknya juga kecewa apabila isu kenaikan gaji penjawat awam mula dipolitikkan sehingga timbulnya idea untuk menggagalkan hasrat kerajaan ini melalui penolakan sokongan di Parlimen.

"Kenyataan seorang ahli politik baru-baru ini amat mengecewakan penjawat awam yang sudah lama menantikan pelarasan semula skim gaji supaya mampu menampung peningkatan kos sara hidup semasa.

"CUEPACS berpesan janganlah emosi politik menguasai keputusan yang tidak memberikan sifat ihsan kepada kebajikan penjawat awam," katanya.

Sementara itu, beliau berkata CUEPACS amat konsisten untuk meneruskan perjuangan supaya isu kenaikan gaji seperti diumum Perdana Menteri baru-baru ini disokong sepenuhnya semua pihak sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

"Jangan kerana marahkan nyamuk habis kelambu mahu dibakar," katanya.

Berita Harian X