Jumaat, 3 Mei 2024 | 2:43pm
Timbalan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Mitsuo Takahashi
Timbalan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Mitsuo Takahashi

Jepun lancar platform eksport makanan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Kedutaan Jepun dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) melancarkan Platform Eksport Makanan Jepun, dalam usahanya menyokong pengembangan makanan Jepun di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun, Mitsuo Takahashi, berkata platform eksport itu menyokong pihak berkepentingan kalangan perniagaan dengan menyediakan maklumat dan aktiviti promosi untuk makanan Jepun di Malaysia.

"Pelancaran platform ini di Malaysia adalah satu simbolik kerana ini adalah yang pertama ditubuhkan di negara majoriti Islam," katanya ketika berucap pada pelancaran platform itu, semalam.

Beliau berkata, daging lembu Kobe, yang dihasilkan di Prefektur Hyogo, telah memperoleh pensijilan halal dan kini boleh didapati di Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, eksport global makanan Jepun, pertanian dan produk perikanan meningkat setiap tahun sejak 2011 dan mencapai rekod tertinggi baharu tahun lalu iaitu lebih 1.45 trilion yen (100 yen Jepun = RM3.10).

"Malaysia berada di kedudukan ke-12 dan diperhatikan bahawa nilai eksport ke Malaysia telah meningkat tiga kali ganda lebih besar dalam tempoh 10 tahun lalu," kata Takahashi.

Sementara itu, Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi dalam ucapannya berkata hidangan Jepun telah mendapat populariti di sini disokong oleh hubungan dua hala yang kukuh.

Perkembangan ini dapat dilihat dengan peningkatan bilangan restoran Jepun yang ketara, iaitu 1,900 berbanding 1,300 dua tahun lalu, katanya.

Pengarah Urusan Jetro Kuala Lumpur, Koichi Takano, berkata organisasi perdagangan itu menyasarkan pasaran berpendapatan sederhana yang semakin berkembang di bawah platform ini.

"Malaysia juga menarik perhatian sebagai hab halal global dan pintu masuk ke pasaran halal," katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup dalam ucapannya berkata, Malaysia mengiktiraf potensi yang pertama seumpamanya di Malaysia itu, terutama dalam perniagaan dan pertukaran kepakaran, pemindahan teknologi dan pelaburan strategik.

Platform itu akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara untuk meningkatkan sektor makanan dan budaya, katanya.

"Secara amnya, Malaysia mengimport sejumlah besar makanan laut, produk diproses, makanan untuk haiwan, produk tenusu dan minuman dari Jepun.

"Pada masa sama, Malaysia mengeksport produk agrimakanan ke Jepun seperti penyediaan minuman, makanan diproses dan makanan laut," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X