Jumaat, 3 Mei 2024 | 11:26am
Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.
Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Boikot terhadap KK Mart bertentangan ajaran, tindakan Rasulullah SAW - Mufti Perak

IPOH: Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, hari ini menegaskan bahawa tuduhan menghina agama Islam yang dilemparkan terhadap pengurusan rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) susulan isu stoking tertera kalimah 'ALLAH' tidak terbukti, sekali gus tiada kewajaran agar premis perniagaan syarikat itu diboikot.

Beliau menegaskan, berpandukan kaedah kehakiman Islam, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah ialah niat dan keinginan melakukannya atau "alqasdul jinaei" (criminal intent), yang mana elemen rukun itu tidak boleh dibuktikan melalui "syahadah" atau "direct evidence."

Wan Zahidi berkata, sebaliknya ia hanya boleh dibuktikan dengan pengakuan atau melalui kaedah pembuktian "garainul ahwal" (circumstantial evidence).

Katanya, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum juga bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW di mana dalam sejarah awal Islam, hanya orang kafir Quraisy sahaja yang memboikot umat Islam, namun Rasulullah SAW tidak pernah memboikot walaupun terhadap musuh.

Menurutnya, ia termasuk berpandukan peristiwa sirah yang tercatat mengenai sahabat baginda iaitu Thumamah bin Uthal yang pernah ditegur oleh Rasulullah SAW, tatkala beliau mengisytiharkan sekatan bahan-bahan makanan kepada kaum kafir Quraisy di Makkah.

"Daripada penjelasan yang dibuat oleh pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ternyata kewujudan rukun alqasdul jinaein ini tidak dapat dibuktikan.

"Dengan demikian, berasaskan kaedah kehakiman lslam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan KK Mart tidak terbukti. Selain itu, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum juga tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW," katanya dalam satu sidang media di pejabat Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), di sini hari ini.

Wan Zahidi selanjutnya, menceritakan bahawa Thumamah bin Uthal pada asalnya adalah Ketua Qabilah Yamamnah yang ditawan sepasukan tentera yang diutus Rasulullah SAW dan dibawa ke Madinah, namun beliau kemudiannya memeluk Islam dan berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji.

Kata Wan Zahidi, sesudah mengetahui permusuhan kaum Ouraisy terhadap lslam, Thumamah mengisytiharkan sekatan bahan-bahan makanan kepada kaum Quraisy, yang justeru menampakkan sekatan itu memberi kesan teruk kepada kaum Quraisy di Makkah berikutan sebahagian besar sumber makanan adalah daripada Yamamah.

"Para pembesar Quraisy kemudiannya menghantar utusan kepada Rasulullah SAW meminta jasa baik baginda agar sekatan ditamatkan, dan ekoran permintaan kaum Quraisy itu, Rasulullah SAW meminta Thumamah menghentikan sekatan bahan-bahan makanan terhadap kaum Quraisy.

"Ia menunjukkan keluhuran akhlak baginda yang tidak membenarkan bahan makanan sebagai hak asasi paling utama dalam kehidupan manusia, digunakan sebagai senjata dalam pertikaian.

"Akhlak mulia sebegini kemudiannya diikuti oleh Salahuddin Al-Ayubi yang menghantar doktor peribadi beliau iaitu lbnu Maimun untuk merawat musuhnya, Richard The Lionheart, yang jatuh sakit ketika berada di Jaffa berserta buah-buahan bagi melengkapkan proses perawatan," katanya.

Katanya lagi, isu KK Mart disensasikan dengan menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan, yang penangannya sudah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat, justeru bertentangan dengan tindakan Rasulullah SAW membentuk Piagam Madinah bagi mengatur hubungan antara pelbagai etnik dalam negara Islam pertama iaitu Madinah.

"Piagam Madinah menyamaratakan hak dan tanggungjawab antara warga muslim dan bukan muslim, dengan menyatakan bahawa warga bukan muslim membentuk satu 'ummah' bersama umat Islam yang sekali gus menetapkan diri dan harta benda mereka

dilindungi sama seperti harta benda warga muslim.

"Dakwah lslamiah memerlukan suasana tenang dan damai serta hubungan yang harmoni di antara kaum yang menganut pelbagai agama. Al Quran memberi panduan kepada umat Islam agar menggunakan pendekatan berhikmah dan tutur kata yang baik dalam misi dakwah mereka.

"Rasulullah SAW memperingatkan pendakwah supaya sentiasa menyebar luaskan perkara-perkara vang mencerminkan harapan dan tidak membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada kerenggangan (basysyiru wala tunaffiru)," katanya.

Mengulas lanjut, Wan Zahidi mengakui beliau mengambil masa agak lama untuk mendalami dan mengkaji sebelum menyentuh isu boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Mart yang dianggapnya sebagai bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Menyedari kenyataannya juga boleh menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat, Wan Zahidi menegaskan, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawabnya menyampaikan ilmu berkaitan dengannya, sebagaimana Rasulullah SAW mengutarakan apa sahaja yang diperintahkan Allah SWT, tanpa mempedulikan polemik yang akan tercetus.

"Kita ikut sebagaimana Rasulullah SAW mengutarakan apa sahaja diperintahkan Allah, walaupun pelbagai polemik timbul waktu itu. Sebagai orang yang yakin kepada Allah dan Rasul-Nya, kita nyatakan apa yang kita belajar dan yakin daripada ulama manakala soal polemik itu terserah kepada masing-masing.

"Prinsip saya, tanggungjawab setiap orang kepada Allah ialah menyatakan apa yang dia yakin dan tahu apa yang orang wajib ikut, dan apa yang saya tulis (kemukakan) ini mengambil masa agak panjang serta dengan rujukan-rujukan itulah yang buatkan saya yakin dan rasa ia wajib disampaikan," katanya.

Wan Zahidi berkata, Al-Quran menekankan keadilan wajib ditegakkan terhadap semua kaum, sama ada yang kita sukai mahupun tidak, selain keadilan yang adalah amanah yang wajib disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berhak tanpa mengira kaum.

Katanya, Rasulullah SAW dalam sebuah hadis pernah menyatakan bahawa sebarang penganiayaan terhadap warga bukan Muslim akan membuatkan pelakunya berdepan pendakwaan Baginda sendiri di akhirat kelak.

Pada masa sama, Wan Zahidi menegaskan bahawa beliau hanya bercakap dalam aspek prinsip kehakiman mengikut Islam tanpa mencampuri urusan mahkamah yang sedang dihadapi pengurusan tertinggi KK Mart,.

"Saya bercakap atas prinsip kehakiman dalam Islam, berbanding mahkamah yang bagi saya membicarakan dalam aspek mengikut kaedah sivil.

"Saya bercakap atas kaedah fiqah Islam, justeru kita tidak campur urusan mahkamah yang menggunakan perundangan sivil. Kaedah-kaedah kehakiman Islam juga sebahagian daripada dakwah," katanya.

Pada Isnin lalu, media melaporkan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart dan isterinya yang juga Pengarah syarikat sama, merancang mengemukakan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas pertuduhan mereka yang dikaitkan dengan stoking tertera kalimah 'Allah'.

Berita Harian X