Jumaat, 3 Mei 2024 | 11:20am
Unit Kawalan Vektor, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL melakukan semburan asap bagi membendung pembiakan aedes. Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah
Unit Kawalan Vektor, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL melakukan semburan asap bagi membendung pembiakan aedes. Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah

Kes demam denggi berkurangan pada ME17, tiada kematian - KP Kesihatan

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi dilaporkan berkurangan kepada 2,237 kes pada Minggu Epidemiologi ke-17 (ME17) iaitu dari 21 April hingga 27 April lalu berbanding 2,321 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME17, dengan kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME17 adalah 52,887 kes berbanding 36,977 bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam kenyataan di sini, hari ini, beliau berkata, dalam tempoh itu juga 39 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 22 kematian dalam tempoh sama tahun lalu, manakala bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME17 adalah 63 lokaliti berbanding 80 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, 51 lokaliti dilaporkan di Selangor, empat lagi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga di Pulau Pinang, dua lokaliti masing-masing di Perak serta Kedah, dan satu di Sarawak.

Dr Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, tiada kes dan wabak direkodkan pada ME17, dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 23 kes.

Bagi survelan zika, katanya, 850 sampel darah dan enam sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Beliau seterusnya menasihati orang awam supaya mengelak daripada berada di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk aedes iaitu pada awal pagi serta lewat petang, dan kerap melakukan aktiviti semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa yang bersembunyi di dalam rumah. –BERNAMA

Berita Harian X