Khamis, 2 Mei 2024 | 10:01pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucappada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat negeri di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), di sini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucappada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat negeri di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), di sini. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Program TVET akan dipertingkatkan bagi tangani isu kekurangan jurutera - Anwar

KOTA BHARU: Kerajaan akan mempertingkatkan program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menangani isu kekurangan jurutera, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri memaklumkan negara mengalami kekurangan seramai 30,000 jurutera.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan untuk memberi ruang kepada generasi muda di Kelantan untuk turut sama menguasai bidang TVET.

"Saya beri jaminan kepada kerajaan Kelantan baik melalui TVET atau latihan kejuruteraan serta teknologi kecerdasan buatan (AI), kita akan beri ruang sama kepada anak muda di negeri ini untuk menguasai bidang ilmu ini.

"Kita tidak mahu mereka (anak muda Kelantan) dan negeri lain ketinggalan memandangkan Malaysia mempunyai keupayaan dalam bidang itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kelantan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut katanya, Anwar turut menekankan kepentingan bagi rakyat Malaysia menguasai AI kerana ia adalah tuntutan dalam perkembangan teknologi pada masa kini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu pendidikanTVET ditingkatkan dan seluruh rakyat Malaysia termasuk Kelantan diberi ruang dan peluang sama rata untuk bersama-sama menguasai teknologi itu.

Katanya, pelajar sama ada di maahad tahfiz, sekolah TVET atau universiti wajar diberikan kesempatan untuk bersama-sama menguasai ilmu baharu ini.

Berita Harian X